top of page

Wakil rakyat mohon JKR pasang tanda amaran segera



SEREMBAN: Susulan kejadian kemalangan di Jalan Mambau-Port Dickson, berhadapan Surau Al-Muqqarabin, Kampung Mambau yang meragut tiga nyawa kelmarin, ADUN Mambau memohon pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memasang tanda amaran di lokasi tersebut secepat mungkin.


Tindakan segera perlu diambil pihak JKR seperti pemasangan lampu amaran, garisan kuning dan lampu sorot (spotlight).


“Saya cadangkan supaya membuat garisan kuning yang tebal supaya dapat perlahankan kenderaan yang memandu laju di kawasan itu.


“Kita juga minta pasang lampu isyarat yang berkelip dan pada waktu malam akan tambah lampu seperti ‘spotlight’ supaya lebih terang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.


Mingguan Malaysia semalam melaporkan tragedi kemalangan maut yang meragut tiga nyawa termasuk sepasang suami isteri, K. Thamotharan, 44 dan S. Ramadevi, 38 yang sedang menaiki motosikal dan seorang ibu tunggal, Noraniza Mohamed Amin yang pada ketika itu berjalan kaki menuju ke surau tersebut.


Ketiga-tiga mereka meninggal dunia di tempat kejadian selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berumur 27 tahun.


Penduduk di kawasan berkenaan memaklumkan, kenderaan yang melalui jalan berkenaan sering dipandu laju malah tahun lepas turut menyaksikan dua nyawa melayang dalam kemalangan berasingan.



10 views
bottom of page