top of page

Wajah baharu Genting Highlands



BENTONG - Buat julung kalinya, kajian Rancangan Kawasan Khas (RKK) Genting Highlands, Bentong, Pahang membabitkan keluasan 6,339.85 hektar diperkenalkan sekali gus bakal menjadi kawasan berkenaan sebagai destinasi pelancongan tanah tinggi bertaraf antarabangsa yang lestari.


Kajian RKK itu disediakan oleh Majlis Perbandaran Bentong (MPB) dengan kerjasama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Pahang dan dibantu oleh PLANMalaysia Semenanjung Malaysia.


Kajian tersebut disediakan di bawah peruntukan Seksyen 16B, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) yang perlu memperincikan polisi, dasar dan strategi pemajuan iaitu Rancangan Struktur Negeri Pahang 2050 dan Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Bentong Pahang 2035 (Penggantian).


Untuk merealisasikan RKK tersebut, tiga keperluan kajian diketengahkan iaitu pelancongan tanah tinggi, kawalan perancangan yang komprehensif serta kepentingan flora dan fauna.


Terdapat 63 cadangan tindakan pembangunan menerusi RKK berkenaan antaranya mewujudkan taman pelancongan ekologi dan pertanian (eco-agro) bersepadu, menyediakan laluan bas pengantara serta menggalakkan penggunaan konsep bangunan rendah karbon dan teknologi hijau.


Dalam cadangan tindakan pembangunan itu juga, RKK berkenaan menampilkan tujuh projek perdana, 42 projek sokongan dan 14 projek quickwin.


Antara projek perdana tersebut melibatkan penambahan empat pelantar tinjau baharu bersebelahan Genting Skyworlds dan Genting Corners View Point berbanding dua pelantar setakat ini di Talking Garden serta Cradle's Rock.


Selain itu, kemudahan untuk pengunjung terus menjadi keutamaan iaitu membina jalan alternatif dari Resort World Genting ke Kampung Bukit Tinggi.


Projek perdana terbabit juga bakal menyaksikan cadangan untuk menyambung jajaran sistem kereta kabel dari Awana Genting Highlands ke Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Genting Sempah.


Wajah baharu Genting Highlands juga bakal diwujudkan menerusi empat parcel pembangunan iaitu Parcel 1 di Resort World Genting, Parcel 2 (Gohtong Jaya), Parcel 3 (Genting Permai) dan Parcel 4 di Genting Sempah.


Sensitif alam sekitar

Sementara itu, Yang Dipertua MPB, Datuk Rose Samsul Abdul Razak berkata, Genting Highlands memang pesat membangun dan dalam masa sama sensitif dengan alam sekitar serta sebagainya.


Menurutnya, dengan kewujudan RKK Genting Highlands, Bentong, Pahang, ia dapat memberikan lebih tumpuan terhadap pengurusan pembangunan kawasan tanah tinggi seperti Genting Highlands.


"Tumpuan RKK ini pertamanya kepada alam sekitar iaitu pembangunan yang tidak menimbulkan ancaman bahaya seperti ketinggian, kecerunan, kawasan tapak dan sebagainya supaya ia selamat serta diyakini para pelabur dan pembeli.


"Seterusnya, kita dapat mengawal dan menyusun atur pembangunan kerana di Genting Highlands kawasannya terhad. Jadi, dengan adanya RKK, pembangunan ia lebih teratur, rapi dengan suasana yang lebih kondusif,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.


Tambah Rose Samsul, pelaksanaan RKK itu turut selaras dengan hasrat MPB untuk merealisasikan Bentong sebagai Bandar Ekopelancongan melalui pelaksanaan projek-projek pembangunan semula merangkumi aspek flora dan fauna.


“MPB ingin menjadikan Genting Highlands sebagai satu destinasi yang berbeza berbanding destinasi lain dengan nilai tambah unik serta lestari menerusi pembangunan tersusun, kemas, teratur dan selamat,” ujarnya.


Maklum balas

Dalam pada itu, mengulas tempoh publisiti RKK tersebut yang berlangsung selama sebulan bermula 2 Mei hingga 3 Jun depan, Rose Samsul turut menyeru pihak-pihak berkepentingan terutamanya para pemilik harta di kawasan Genting Highlands memberikan kerjasama dengan memberikan pandangan serta maklum balas bagi menjayakan RKK itu.


“Pihak-pihak berkepentingan termasuk para pemilik harta di kawasan Genting Highlands juga boleh membuat semakan di kaunter Jabatan Perancangan Bandar di MPB, ruang legar PLANMalaysia Pahang ataupun melalui pautan di portal MPB sendiri,” katanya.


Sumber: Sinar Harian


11 views

Comments


bottom of page