top of page

Velodrom Dungun siap April 2022


WAN Sukairi Wan Abdullah (tengah) meninjau tapak projek Velodrom Dungun di Dungun, Terengganu hari ini. UTUSAN/ TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF

DUNGUN: Pembinaan Velodrom Dungun di Kampung Balai Besar di sini yang tertangguh sejak 2010 dijangka siap pada April 2022.


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, projek bernilai RM11.8 juta yang dimulakan pada Disember tahun lalu kini sudah mencapai 34 peratus.


Katanya, berdasarkan perancangan asal, projek itu sepatutnya siap akhir tahun depan namun kelewatannya disebabkan situasi semasa penularan pandemik Covid-19.


“Kita tidak mahu venue ini sekadar menjadi pusat latihan sahaja, sebaliknya kita akan memastikan Veledrom Dungun mampu menganjurkan kejohanan sekurang-kurangnya di peringkat kebangsaan.


“Beberapa aspek seperti keselamatan, kapasiti penonton dan sebagainya perlu dibincangkan kembali kerana kita mahu Veledrom Dungun menjadi kompleks berbasikal serba lengkap,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek itu di sini hari ini.


Dalam perkembangan sama, Wan Sukairi berkata, pembangunan kompleks itu kelak bakal menempatkan atlet BMX selaras hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Dungun sebagai hub sukan berbasikal.


Katanya, inisiatif itu bertepatan dengan misi Terengganu untuk melahirkan lebih ramai atlet berbasikal yang berkualiti setanding jaguh Olimpian kebanggaan negara, Azizulhasni Awang.


“Dungun terkenal dengan aktiviti sukan lasak BMX dengan memiliki trek sendiri tetapi kita tidak menolak kemungkinan untuk membina satu lagi trek sama di kawasan veledrom ini.


“Impian kita adalah menjadikan tempat sebagai satu kompleks sempurna untuk sukan berbasikal di Terengganu,” katanya.



16 views
bottom of page