top of page

Usaha sama Vizione raih kontrak infrastruktur mega bernilai RM815 juta


KUALA LUMPUR: Syarikat usaha sama 50:50 Vizione Holdings Bhd dengan Vertice Construction Bhd, Buildmarque Construction Sdn Bhd, menerima kontrak daripada Consortium Zenith Construction Sdn Bhd bernilai tetap RM815 juta.


Kontrak itu adalah bagi kerja-kerja pembinaan pakej 2 projek jalan raya pintasan sepanjang 5.7 kilometer dari Bandar Baru Ayer Itam bersambung di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu di Pulau Pinang.


“Nilai RM815 juta itu berasaskan keseluruhan anggaran kos yang diperlukan untuk kerja kontrak tersebut yang berjumlah RM707.06 juta ditambah dengan sedikit margin untuk kontraktor mengambil kira risiko dan ketidaktentuan sepanjang melaksanakan projek berkenaan.


“Buildmarque berhasrat membiayai projek itu melalui dana dalaman, pinjaman bank dan/atau dana tambahan daripada pemegang sahamnya,” menurut Vizione dalam kenyataan hari ini.


Pembinaan itu perlu dilaksanakan dalam tempoh 36 bulan daripada tarikh mula laksana atau tarikh notis bagi meneruskan dikeluarkan tertakluk kepada sebarang lanjutan tempoh yang diberikan mengikut kontrak pembinaan terbabit.


Sebelum ini, kontrak bertarikh 6 Oktober 2013 dan 18 November 2013 dilaksanakan antara China Railway Construction Corporation (CRCC) dan Consortium Zenith (CRCC Contract) dengan Consortium Zenith melantik CRCC sebagai kontraktor kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan (EPC) bagi pakej 2, antaranya.


Skop perkhidmatan terbabit meliputi EPC, tidak termasuk pelaksanaan, pengesahan jurutera profesional, badan berkuasa dan sebarang penyerahan dokumen dan lukisan kepada pihak berkuasa tempatan.


Bagi memenuhi obligasi kontrak Consortium Zenith kepada CRCC mengikut CRCC Contract, ​​​​​​ Buildmarque dalam kapasitinya sebagai pengurus projek bersetuju dan berjanji mendorong pemberian kerja pembinaan awam dan berstruktur di bawah CRCC Contract kepada CRCC.


Pada masa ini, unit milik penuh Vizione, Wira Syukur (M) Sdn Bhd (WSSB) sedang berunding dengan CRCC untuk WSSB melaksanakan sebahagian besar kerja pembinaan itu sebagai subkontrak.

-- BERNAMA


Sumber: Berita Harian


44 views
bottom of page