top of page

Usah abai penguatkuasaan, keselamatan tempat kerja


Gambar hiasan

IKATAN Komuniti Selamat ingin menyeru pihak berkuasa memperkasakan penguatkuasaan undang-undang tahun ini dan menjadikan Malaysia tempat lebih selamat dan sihat untuk hidup.


Perlu ada penguatkuasaan lebih ketat terhadap pelaku yang mencemarkan persekitaran kita, melalui pembakaran terbuka, membuang sampah-sarap dan mencemarkan sungai kita.


Semua pihak berkepentingan perlu menyelesaikannya untuk menjadikan Malaysia tempat bersih untuk semua dengan pembangunan bandar hijau, hospital, sekolah dan taman yang lengkap.


Kesihatan, pendidikan, keselamatan dan alam sekitar adalah keperluan asas dan hak kita ini harus dilindungi untuk memberi kehidupan lebih baik.


Kita tidak perlu mendengar aduan mengenai hospital yang perlu menolak pesakit kerana kekurangan pakar atau katil dan kes hospital swasta yang memberi keutamaan kepada mereka yang mempunyai wang atau insurans perubatan.


Kesejahteraan doktor dan kakitangan perubatan, terutama di hospital kerajaan harus dijaga kerana mereka perlu menangani pelbagai jenis pesakit terutama daripada golongan B40 dan yang lain, yang tidak mampu untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta setiap hari.


Dikenali dengan pakar dan kemudahan yang sangat baik, hospital kerajaan juga pusat rujukan dan dalam banyak keadaan, pesakit dihantar kepada mereka apabila hospital swasta tidak mempunyai kakitangan perubatan atau peralatan yang betul untuk menangani kes tertentu.


Ia perlu bagi kerajaan untuk memberi keutamaan kepada penyelenggaraan hospital dan menaik taraf hospital. Budaya penyelenggaraan yang baik pasti akan membantu mengekalkan kebersihan wad, dapur dan tandas di semua hospital awam.


Kita mesti meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan dan menjadikan budaya penyelenggaraan yang baik sebagai cara hidup.


Fakta bahawa insiden berlaku di hospital dan kemudahan kesihatan lain jelas menunjukkan keperluan lebih banyak perlu dilakukan untuk meningkatkan keselamatan dan sikap serta tingkah laku mereka di tempat kerja sedemikian.


Kerajaan membelanjakan berbilion untuk pembangunan hospital dan segala usaha harus dilakukan untuk menyemai budaya penyelenggaraan dan keselamatan. Mereka yang bertanggungjawab tidak boleh menghindari tugas mereka.


Saya percaya kebanyakan kakitangan hospital tahu tempat kerja mereka adalah tempat paling berbahaya untuk bekerja, tetapi bersedia meletakkan keselamatan dan kesihatan sendiri secara berisiko demi kewajipan etika untuk membantu pesakit.


Kerja hospital boleh dikatakan berbahaya dan mengikut Biro Statistik Buruh Amerika Syarikat, kemungkinan kecederaan atau penyakit lebih tinggi di hospital berbanding sektor pembinaan dan pembuatan.


Lebih banyak pembiayaan perlu diperuntukkan untuk kerja penyelenggaraan dengan kakitangan yang bertanggungjawab dan berdedikasi untuk mengendalikan mereka, termasuk di hospital dan sekolah.


Menjadi tanggungjawab kita untuk membantu kerajaan mengekalkan semua kemudahan dan infrastruktur dibina, seolah-olah kita menjadi mata dan telinga mereka.


Ini akan membantu memastikan semua kemudahan dan infrastruktur dijaga dengan baik dan selamat dan dengan itu mengelakkan semua bentuk kemalangan. Keselamatan tidak boleh dipandang ringan begitu sahaja.



14 views
bottom of page