top of page

Untung bersih Yinson kembali melonjak


/penjimatan-rm11-bilion-adalah-perbezaan-antara-kos-keseluruhan-ecrl Berita Harian www.bharian.com.my
Gambar hiasan: /penjimatan-rm11-bilion-adalah-perbezaan-antara-kos-keseluruhan-ecrl

KUALA LUMPUR: Yinson Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM155 juta pada suku ketiga berakhir 31 Oktober 2022 berbanding RM98 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu.


Hasil turut melonjak kepada RM1.74 bilion daripada RM820 juta sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh permulaan aktiviti perniagaan kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC) untuk pengeluaran, penyimpanan dan pemindahan apungan (FPSO) Maria Quitéria dan FPSO Atlanta, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.


Dalam satu kenyataan, Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Lim Han Weng, berkata kestabilan prestasi Yinson sepanjang tempoh ketidaktentuan beberapa tahun kebelakangan ini adalah bukti model perniagaannya yang kukuh dan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan.


"Permintaan yang semakin meningkat di seluruh dunia untuk kontraktor dan operator yang pakar dalam FPSO terus memberi impak positif kepada aktiviti perniagaan Yinson Production," katanya.


Beliau berkata, syarikat infrastruktur dan teknologi tenaga global itu juga mengalami suku yang sibuk dan produktif untuk perniagaan tenaga boleh diperbaharuinya.


"Selain mengukuhkan lagi dan mengembangkan saluran projek tenaga boleh diperbaharui global, Yinson Renewables mengekalkan tumpuan untuk mematangkan projek yang diperoleh dengan membuat keputusan pelaburan akhir dan memulakan pembinaan.


"Secara global, jumlah saluran tenaga boleh diperbaharui kami berada pada lebih 5.5 gigawatt (GW), termasuk lebih 3.8GW projek peringkat awal, di samping hampir 1GW yang persetujuan perancangan sedang dalam proses serta 486 megawatt (MW) lagi ditambah 285 MW yang masing-masing dalam pra-pembinaan/pembinaan," katanya.


Sumber: Berita Harian


Comments


bottom of page