top of page

Untung bersih Sime Darby naik 53 peratus


KUALA LUMPUR 27 Ogos - Keuntungan bersih Sime Darby Bhd meningkat sebanyak 53.4 peratus kepada RM948 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2019 daripada RM168 juta dalam tahun kewangan sebelum ini.


Hasilnya meningkat kepada RM36.16 bilion iaitu pertambahan 6.9 peratus berbanding tempoh sama 2018.


Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Sime Darby berkata, prestasi lebih baik itu dipacu oleh pencapaian kukuh Bahagian Industri berikutan pemulihan sektor perlombongan dan pembinaan di Australia serta pembinaan, khususnya di China.


Namun dalam satu kenyataan, kumpulan itu berkata, sebagai perbandingan, hanya operasi berterusan perniagaan segmen kumpulan seperti perindustrian, permotoran, logistik dan penjagaan kesihatan adalah relevan atau diambil kira.


Ini berikutan pemisahan perniagaan perladangan dan hartanah susulan penyenaraian Sime Darby Plantation Bhd. dan Sime Darby Property Bhd. di Pasaran Utama Bursa Malaysia selepas langkah itu dilaksanakan pada akhir 2017.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, operasi perindustrian kumpulan itu di Australia dan China mendapat manfaat daripada peningkatan sektor perlombongan dan pembinaan manakala pertumbuhan di Bahagian Permotoran susut susulan persekitaran persaingan yang sengit.


Bagi kemajuan masa depan, beliau berkata, pengambilalihan kumpulan Gough Group Limited di New Zealand yang dijangka selesai pada 30 September, akan meletakkan Sime Darby pada kedudukan lebih kukuh dan terus menjana keuntungan tambahan kepada para pemegang saham.


“Transaksi ini menawarkan peluang yang amat jarang kerana dapat mengambilalih salah satu pengedar tertua Caterpillar selain mengukuhkan kedudukan Sime Darby Industrial sebagao peneraju di Asia Pasifik.


“Perniagaan pengangkutan dan pengendalian bahan oleh Gough Group yang mewakili jenama global premium di New Zealand dan Australia, juga hanya melengkapi perniagaan trak komersial sedia ada Sime Darby Motors di New Zealand selain membuka ruang pertumbuhan baharu untuk kami di rantau tersebut,” katanya. - BERNAMA



17 views
EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2024 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page