
KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Scientex Bhd meningkat sebanyak 4.2 peratus kepada RM107.18 juta bagi suku pertama berakhir 31 Oktober 2022 daripada RM102.87 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun kewangan 2022, didorong sumbangan positif daripada bahagian pembungkusan dan pembangunan hartanah.
Perolehan pula meningkat 11 peratus kepada RM1.03 bilion daripada RM928.17 juta bagi tempoh yang sama, menurut pembuat pembungkusan plastik itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis.
Syarikat itu menjelaskan, perolehan daripada pembungkusan meningkat 5.6 peratus tahun ke tahun kepada RM716.0 juta pada suku pertama itu, disokong oleh margin lebih baik selain harga bahan mentah yang rendah dalam segmen pembungkusan pengguna.
"Produk pembungkusan bagi perindustrian mencatatkan jualan lebih rendah berikutan permintaan yang lemah apabila pelanggan global bertindak berhati-hati mengenai sentimen perdagangan global.
"Keuntungan operasi pembungkusan berkurangan daripada RM64.7 juta kepada RM56.9 juta disebabkan permintaan berkurangan untuk produk pembungkusan industri ditambah dengan kos operasi keseluruhan yang lebih tinggi," menurutnya.
Menurut Scientex, hasil hartanah meningkat 25.5 peratus tahun ke tahun kepada RM313.9 juta, terutama disumbangkan oleh projek pembangunan di Taman Pulai Mutiara 1 dan 2 di Johor, serta Scientex Jasin dan Scientex Bandar Jasin di Melaka.
Dalam kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif, Lim Peng Jin, berkata ketidaktentuan global, kos operasi yang meningkat ekoran ganguan rantaian bekalan serta peningkatan inflasi masih menjadi faktor negatif utama dan boleh menjejaskan permintaan global terhadap pembungkusan dalam jangka masa terdekat.
Beliau berkata justeru, Scientex terus memperkukuh kecekapan operasi dan rantaian bekalan, di samping mempertingkatkan keupayaan untuk mengekalkan daya saing.
Syarikat bergerak seiring dengan pelan pengembangannya yang dirangka untuk pertumbuhan jangka masa lebih panjang, katanya.
"Bagi bahagian hartanah, kami telah menyusun beberapa pelancaran fasa baharu merentas pembangunan kami di Semenanjung Malaysia, yang akan memanfaatkan penjenamaan kukuh, harga mampu milik dan lokasi strategik kami.
"Kami menjangkakan permintaan stabil untuk rumah berharga mampu milik kami dan sedang menjalankan inisiatif pengurusan kos untuk menangani kos pembinaan yang meningkat," katanya.
Semasa mesyuarat agung tahun ke-54 Scientex hari ini, pemegang saham syarikat telah meluluskan dividen akhir sebanyak lima sen sesaham untuk tahun kewangan 2022, yang boleh bayar pada 9 Januari 2023 sekali gus menjadikan jumlah pembayaran dividen sebanyak RM139.6 juta.
Sumber: Berita Harian
Comments