top of page

UEM Sunrise beli tanah RM197 juta



PETALING JAYA: Syarikat pemaju hartanah, UEM Sunrise Berhad mengambil alih sebidang tanah berkeluasan 2.78 hektar di Cheras, Kuala Lumpur bernilai RM197 juta.


UEM Sunrise melalui anak syarikat milik penuhnya, UEM Land Berhad telah menandatangani Perjanjian Jual dan beli (SPA) dengan pemilik asal tanah berkenaan, Accolade Land Sdn. Bhd. bagi tujuan pembangunan sebuah projek yang disasarkan untuk pemilik rumah muda.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sufian Abdullah berkata, projek itu akan melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM1 bilion dan akan dilaksanakan dalam dua fasa pelancaran, bermula pada separuh kedua tahun hadapan.


“Tanah yang terletak berhampiran dengan Stesen MRT Taman Connaught itu membuka peluang yang hebat untuk meneroka pembangunan berorientasikan transit, memenuhi permintaan golongan pekerja muda di kawasan bandar dan dilengkapi dengan tawaran gaya hidup di kediaman pada harga yang menarik.


“Projek itu akan memberi kami peluang untuk membangunkan produk unik yang menggabungkan kebolehcapaian dan integrasi dengan sistem pengangkutan awam, dengan permintaan tempat tinggal pascapandemik seperti menyediakan ekonomi sentuhan rendah dan kemudahan rekreasi yang lebih terbuka dengan harga yang berpatutan,” katanya dalam kenyataan.


Bagi syarikat itu, Cheras terus menjadi salah satu kawasan tempat tinggal yang paling banyak dicari kerana kemudahan pengangkutannya, disambung kepada enam stesen MRT, Lebuh Raya Cheras-Kajang, Jalan Cheras serta berdekatan dengan Jalan Lingkaran Tengah 2.


Kawasan itu juga berhampiran dengan pelbagai kemudahan seperti Hospital Pantai Cheras dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM serta Universiti UCSI.


Pembelian tanah itu menandakan langkah pengambilalihan utama kedua oleh UEM Sunrise pada tahun ini, sekaligus membuktikan komitmen syarikat itu untuk mengimbangi semula portfolio pemegangan tanah-tanahnya di kawasan berkenaan.


Menerusinya juga, UEM Sunrise mencatatkan jumlah pemilikan tanah di kawasan Kuala Lumpur kira-kira 440.1 ekar dengan anggaran GDV sebanyak RM29 bilion.


Pada waktu tengahari semalam, saham syarikat itu berakhir tidak berubah pada 42 sen, menjadikan nilainya RM2.12 bilion.


24 views
bottom of page