top of page

Ubah fokus


KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah dijangka beralih kepada pembangunan projek rumah mampu milik berbanding membina lebih banyak rumah mewah pada tahun ini.


Pengasas Hartanahguru, Aziz Ahmad berkata, usaha itu sejajar dengan harapan kerajaan untuk membina rumah yang mampu dimiliki rakyat.


Beliau berkata, pilihan pemaju hartanah itu juga dilihat dapat memulihkan sektor hartanah kediaman yang terus merudum dengan lebih banyak lambakan rumah siap dibina.


“Projek rumah mampu milik dijangka menjadi agenda utama dalam kalangan syarikat hartanah negara ini pada 2019 berikutan landskap industri yang tidak menentu.


“Kita melihat pasaran hartanah akan menjadi lebih perlahan terutamanya dengan isu lambakan rumah tidak terjual yang majoritinya adalah rumah berharga RM500,000 dan ke atas.


“Justeru, peralihan kepada projek perumahan mampu milik dilihat akan menjadikan pasaran kembali pulih dan mewujudkan sentimen yang lebih baik,” katanya.


Tahun lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin memperkenalkan tiga kategori baharu rumah mampu milik iaitu berharga RM150,000 dan ke bawah, RM150,000 hingga RM300,000 dan RM300,000 hingga RM500,000.


Sementara itu, menurut Buletin Suku Kedua 2018 oleh Bank Negara Malaysia (BNM), harga rumah mampu milik perlu ditawarkan pada kadar maksimum RM282,000 bagi pendapatan isi rumah berjumlah RM5,228.


Mengulas mengenai isu lambakan rumah siap dibina tidak terjual, Aziz berkata, beliau menjangkakan pihak pemaju akan menawarkan lebih banyak diskaun kepada pembeli mahupun pelabur hartanah.


Katanya, menerusi tawaran diskaun itu, ia menjadikan pembelian rumah itu lebih menarik dan lebih berbaloi untuk dimiliki orang ramai.


“Selain diskaun, antara tawaran yang dilihat bakal disediakan termasuklah lebih banyak rebat tunai, pakej kelengkapan rumah serta pakej khas,” katanya.


Menyentuh prospek hartanah pada 2019 pula, Aziz berkata, beliau tidak menyaksikan sebarang galakan untuk pertumbuhan sektor itu.


Katanya, sebelum ini terdapat pelbagai projek infrastruktur mega yang dilaksanakan namun memandangkan sebahagiannya dibatalkan atau disemak semula, ia sedikit sebanyak memberi impak kepada sektor itu.


Sumber: Harian Metro


5 views

Comentários


bottom of page