top of page

Tuntut syarikat China lunas tunggakan RM25 juta


Tuntut syarikat China lunas tunggakan RM25 juta Harian Metro www.hmetro.com.my
WAKIL sub kontraktor mengadakan demonstrasi aman berhampiran sebuah stesen minyak di Lebuhraya Persekutuan. FOTO Faiz Anuar

Shah Alam: Satu demonstrasi aman diadakan hari ini di hadapan sebuah stesen minyak di Seksyen 1, menghala Kuala Lumpur, Lebuhraya Persekutuan, di sini, oleh sekumpulan wakil sub kontraktor dan pembekal tempatan yang terbabit dalam Projek Laluan Transit Aliran Ringan Fasa 3 (LRT 3) Pakej GS05 dan GS06.


Demonstrasi aman itu bagi menuntut supaya pihak China Railway 17th Bureau Group (M) Sdn Bhd (CRCC17) melunaskan bayaran berjumlah lebih RM25 juta kepada mereka yang sudah lebih setahun tertunggak.


Wakil sub kontraktor dan pembekal itu dilantik oleh CRCC17 untuk 'Projek Membina dan Menyiapkan Laluan, Stesen, Park and Ride, Bangunan, Ancillary dan Kerja-kerja Berkaitan Lain Bagi Pakej GS05 dan GS06 Laluan LRT 3 dari Bandar Utama ke Johan Setia, Klang.


Untuk rekod, Sub Kontraktor Utama bagi Projek LRT Fasa 3 Pakej GS05 ialah Apex Communication Sdn Bhd manakala Rahimkon Sdn Bhd pula Sub Kontraktor Utama bagi Pakej GS06. Kontraktor Utama bagi kedua-dua pakej berkenaan adalah CRCC17.


Pengarah Urusan Izani Wawasan Enterprise (IZW) Sdn Bhd, Rozani Aziz berkata, ia adalah projek Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan klien projek adalah Prasarana Malaysia Berhad.


"Masalahnya sejak setahun lalu, kami sub-sub kontraktor dan pembekal yang diberi tanggungjawab menyiapkan pelbagai kerja mengikut pelbagai bidang kepakaran masing-masing dalam kedua-dua pakej ini tidak menerima bayaran untuk kerja-kerja yang sudah dilaksanakan dengan sempurna dan disahkan pegawai pihak CRCC17.


"Kami dijanjikan berulang kali setiap bulan oleh Pengarah Projek CRCC17, bahawa bayaran akan dibuat, tetapi janji itu tidak ditepati dan setiap kali kami memohon pihak CRCC17 untuk menjelaskan bayaran tertunggak, ia masih lagi tidak dibuat," katanya yang memberikan kenyataan media, selepas demonstrasi aman itu berlangsung.


Selain Izani Wawasan, antara syarikat sub kontraktor lain yang turut terjejas ialah Specom Engineering, Commerce Bass Sdn Bhd, KKB Construction Sdn Bhd, RM Leopad Sdn Bhd, Experiva Solutions, Wai Tatt Engineering Sdn Bhd, Leopad Hire Sdn Bhd, Pekat E & LP Sdn Bhd, Huls Transmission Sdn Bhd, Sunward Piling Sdn Bhd, Yuen Tong Construction Sdn Bhd, Honeywell Machinery, dan Public Crane Sdn Bhd.


Syarikat lain termasuk CTSM Geotechnology Sdn Bhd, Spectech SRS Sdn Bhd, Doshin Rubber Products (M) Sdn Bhd dan Mansk Trading.


Rozani berkata, selain sudah banyak siri mesyuarat diadakan bersama pengurusan tertinggi CRCC17, wakil pihak sub kontraktor yang berkumpul hari ini juga telah cuba menghantar surat kepada pelbagai pihak yang ada kaitan dengan Projek LRT Fasa 3.


"Ini termasuk MOT dan Prasarana sendiri, Kementerian Kewangan, pihak sub kontraktor utama bagi dua pakej terbabit (Apex dan Rahimkon), Kontraktor Peneraju (Chairman Contractor), Setia Utama LRT3 Sdn Bhd (sebelum ini dikenali MRCB George Kent atau MRCB GK) yang adalah anak syarikat MRCB Builders dan malah termasuk juga Kedutaan Besar Republik China.


"Terbaru, mesyuarat juga diadakan bersama MRCB GK. Namun sehingga kini tiada mana-mana pihak sub kontraktor bagi Pakej GS05 dan GS06 Projek LRT Fasa 3 ini yang menerima sama ada bayaran penuh atau sekurang-kurangnya sebahagian daripada pihak CRCC17," katanya.


Sehubungan itu, sub kontraktor dan pembekal tempatan kini makin terdesak dan mendakwa terpaksa mengadakan demonstrasi pada hari ini dengan harapan nasib mereka dan kira-kira 3,000 pekerja terbela.


Projek LRT 3 dimulakan Ogos 2015 dijangka siap sepenuhnya pada 28 Februari 2024 dengan jajaran laluan sepanjang 37.8 kilometer termasuk dua kilometer di bawah tanah dengan kapasiti kelajuan operasi 80 kilometer sejam.


Termasuk dalam projek ini ialah pembinaan 20 stesen sepanjang laluan dengan lima stesen utama serta 20,000 lot meletak kenderaan di enam stesen.


Apabila siap, ia dijangka mampu menampung 18,630 penumpang sejam bagi setiap arah laluan.


Pada 5 Ogos tahun lalu, Prasarana mengumumkan laluan LRT 3 dinamakan sebagai LRT Laluan Shah Alam.


Sumber: Harian Metro

51 views

Comments


bottom of page