Tumpahan sisa diesel cemar Sungai Bernam



TUMPAHAN sisa diesel akibat kemalangan lori tangki minyak di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Behrang, Perak tengah hari semalam menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selisik terpaksa dihenti tugas pada 11.45 malam tadi.


Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataan memaklumkan kemalangan yang membabitkan pelanggaran antara lori tangki minyak diesel dan sebuah van keselamatan itu menyebabkan tangki muatan diesel lori berkenaan pecah.


"Hasil siasatan mendapati kemalangan berkenaan menyebabkan tumpahan sisa minyak diesel ke kawasan lebuhraya sehingga ke Sungai Siah, Perak.

"Sehubungan itu, LUAS mengaktifkan Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terbabit yang berisiko hingga menyebabkan henti tugas LRA Sungai Selisik pada jarak 2.7 kilometer (km) di bahagian hilir.


"LUAS mengambil tindakan pantas dengan memasang 'oil-boom' di kawasan aliran yang terjejas bagi mengawal baki aliran minyak dari mengalir ke dalam Sungai Bernam," katanya.


LUAS memaklumkan, siasatan menyeluruh serta pensampelan sudah dijalankan oleh pihaknya bersama AIR Selangor bermula di sebuah kawasan ladang kelapa sawit berhampiran lokasi kejadian sehingga ke kawasan Sungai Kelawar dan seterusnya Sungai Bernam.


Jelasnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak juga sudah melantik kontraktor bagi kerja penyedutan baki sisa minyak di kawasan yang aliran yang bertakung berhampiran lebuhraya.


"Kerja-kerja penyedutan baki sisa minyak terpaksa dihentikan buat sementara waktu sekitar 4.50 pagi berikutan keadaan kawasan gelap dan sukar untuk melakukan kerja pembersihan.


"Pihak LUAS, JAS Perak dan PLUS akan memantau dan melaksanakan susulan terhadap kerja penyedutan baki sisa minyak itu," katanya.


Sumber: Harian Metro


#evolusibina #JAS #Perak

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.