Tujuh projek rumah PR1MA Pahang dibatalkan


Abd Rahim (dua dari kanan) meninjau bilik tidur rumah PR1MA yang bakal dijual kepada pelanggan.

KUANTAN - Tujuh daripada 133 projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) Pahang terpaksa dibatalkan disebabkan masalah kos infrastruktur terlalu tinggi.


Bagaimanapun, 126 projek yang sedang berjalan membabitkan 11 daerah bakal menyediakan hampir 40,000 unit rumah untuk rakyat di negeri ini.


Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Abd Rahim Muda berkata, daripada keseluruhan projek sebanyak 15,000 unit rumah PR1MA sudah berjaya disiapkan.


"Selebihnya dan secara keseluruhan dijangkakan akan mengambil masa dalam tempoh empat tahun untuk disiapkan tapi ada beberapa projek PR1MA di beberapa tempat terpaksa kita batalkan.

"Masalah berpunca daripada infra yang memerlukan proses yang sangat tinggi kosnya. Ia bukan projek terbengkalai tetapi dibatalkan di peringkat awal lagi," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media majlis perasmian rumah contoh PR1MA Pahang di Cherating di sini hari ini.


Menurutnya, rumah PR1MA dijual dengan harga yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran semata-mata untuk membantu rakyat memiliki rumah sendiri.


"Rumah PR1MA dijual dengan harga RM150,000 sahaja seunit dan diskaun 10 peratus untuk penjawat awam iaitu hanya RM135,000 sahaja.


"Harga pasaran lebih kurang RM280,000 untuk sebuah rumah dilengkapi tiga bilik dua bilik air dan di atas tanah seluas 2,800 kaki persegi serta luas bangunan 1,000 kaki persegi," katanya.


Abd Rahim berkata, syarat keutamaan diberi kepada rakyat Pahang berpendapatan seisi rumah tidak lebih RM10,000 dan berumur 40 tahun ke bawah.

"Bagi yang tidak layak memohon rumah PR1MA, boleh mencuba nasib untuk memiliki projek rumah Makmur yang dijual pada harga RM80,000 khas untuk golongan berpendapatan rendah atau sederhana iaitu RM5,000 ke bawah.


"Projek Prima mendapat sambutan tinggi, contohnya untuk di Cherating sahaja permintaan atau permohonan sudah mencapai 80 peratus," katanya.


Sumber: Sinar Harian


#evolusibina #PR1MA

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.