GUA MUSANG : Tujuh jambatan besi keluli yang dibina sepanjang laluan dari Pos Simpor ke Pos Gob akan siap pada Ogos ini.
Jabatan Kerja Raya (JKR) menerusi kenyataan berkata, pembinaan tujuh jambatan besi keluli itu kini dalam pembinaan yang bermula sejak Julai tahun lalu.
Katanya, daripada tujuh jambatan besi keluli itu tiga daripadanya sudah siap sepenuhnya.
"Jambatan keluli di Sungai Teramok, Sungai Blaer dan Sungai Sengnang sudah siap dibina, manakala jambatan keluli di Sungai Bed, Sungai Taboh, Sungai Kawod dan Sungai Pelat masih di dalam proses pembinaan.
"Proses pembinaan dan naik taraf kini sudah mencapai 75 peratus pembinaan dan akan akan siap pada akhir Ogos nanti," katanya.
Menerusi kenyataan itu juga, JKR memaklumkan kerja naiktaraf dilaluan terbabit juga melibatkan pembinaan dua pembentung dan kerja-kerja baik pulih jalan.
"Dua pembentung ini sudah siap dibina di anak Sungai Teramok dan Sungai Peningcong.
"JKR sedia maklum akan keluhan penduduk ini dan sentiasa komited dan prihatin dalam penyampaian projek serta sentiasa berusaha untuk menyediakan jalan perhubungan yang selamat kepada pengguna.
Minggu lalu media melaporkan lebih 1,000 penduduk Orang Asli di Pos Gob, dekat sini, berharap tujuh jambatan besi yang kini dalam pembinaan dapat disiapkan secepat mungkin sebelum ketibaan tengkujuh hujung tahun ini.
Tujuh jambatan besi terbabit bakal memberi manfaat kepada 1,000 penduduk Pos Gob.
Sumber: Berita Harian
Tujuh jambatan besi ke Pos Gob siap akhir Ogos ini
Comments