Tuju Setia dapat kontrak RM189 juta bina menara
- Ridhwanisme
- May 18, 2021
- 1 min read

KUALA LUMPUR: Tuju Setia Bhd, syarikat perkhidmatan pembinaan meraih kontrak bernilai RM189 juta bagi projek pembinaan menara di Seri Kembangan, Selangor.
Tuju Setia dalam satu kenyataan, berkata kontrak yang diraih dari Enso Development Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Beverly Group (Q) Sdn Bhd dan Surbana Jurong Capital (Enso Q) Pte Ltd itu membabitkan kerja-kerja pembinaan utama di bawah Projek Pakej 1 One Equine yang akan dilaksanakan oleh anak syarikat milik penuh Tuju Setia, Pembinaan Tuju Setia Sdn Bhd.
"Projek berkenaan merangkumi blok 35 tingkat yang mengandungi 865 unit pejabat kecil/pejabat rumah (SoHo) serta blok 33 tingkat dengan 526 unit pangsapuri servis, fasiliti dan kemudahan berkaitan termasuk tempat letak kereta podium bertingkat," katanya.
Pengarah Urusan Tuju Setia, Wee Eng Kong, berkata pembangunan di Seri Kembangan itu berada dalam lingkaran pembangunan yang akan datang dan terletak berhampiran Cyberjaya serta Putrajaya.
"Dengan kejayaan ini, tempahan dalam tangan kami kini berada pada RM1.14 bilion berbanding RM953.1 juta sebelumnya.
"Dalam usaha untuk menjadi pembina pilihan, kami berharap dapat mengekalkan momentum ini dan terus mendapatkan projek agar kedudukan kami terus dapat dikukuhkan dalam industri pembinaan," katanya.
Menurut Tuju Setia, pembinaan projek itu dijadualkan bermula menjelang Jun 2021 dan dijangka mengambil masa 38 bulan untuk disiapkan.
Menurut syarikat itu, projek terbabit dijangka menyumbang secara positif ke arah pendapatan kumpulan sehingga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
Selain One Equine, projek Tuju Setia sedia ada terdiri daripada Mutiara Central Office Suites (Cheras), Riana Dutamas – Fasa 2 (Segambut), The Pulse Residence (Bandar Puteri Puchong), PPAM Sofiya Residensi (Desa ParkCity), Emerald Hills – Fasa 3 dan 4 (Cheras), TUAI Residence (Setia Alam), 121 Residences (Petaling Jaya) serta Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kajang. -BERNAMA
Sumber: Berita Harian
Comments