top of page

Tuju Setia bida projek RM2.8 bilion


Tuju Setia Bhd

KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan pembinaan, Tuju Setia Bhd menyertai tender projek bernilai RM2.8 bilion untuk membina bangunan bertingkat dan perindustrian, selain hospital dan kemudahan penjagaan kesihatan.


Pengarah Urusan Tuju Setia, Wee Eng Kong, berkata walaupun harga bahan binaan seperti keluli dan konkrit meningkat, masih terdapat tender aktif bagi bangunan penting seperti kediaman, hospital serta kemudahaan penjagaan kesihatan.


"Kepakaran kami adalah membina bangunan tinggi terutama kediaman mampu milik hingga premium dan bangunan komersial yang terletak strategik di lokasi yang mempunyai permintaan kukuh.


"Dua kontrak terkini yang kami peroleh daripada Sunway mencerminkan permintaan ini," katanya dalam satu kenyataan.


Pesanan sedia ada Tuju Setia bernilai RM1.5 bilion termasuk kontrak RM257 juta Jernih Residence (Kajang) yang diperoleh pada 20 Jun 2022 dan Sunway d'hill Residence (Petaling Jaya) bernilai RM311.7 juta yang dimenangi pada 30 Disember 2021.


Projek lain yang sedang dilaksanakan adalah Mutiara Central Office Suites (Cheras), Riana Dutamas - Fasa 2 (Segambut), Lakefront Condominiums di Emerald Hills (Cheras), TUAI Residence (Setia Alam), The Pulse Residence (Puchong), 121 Residence (Petaling Jaya), One Equine (Seri Kembangan) serta Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kajang.


Pada mesyuarat agung tahunan (AGM) syarikat, pemegang saham meluluskan dividen akhir 0.5 sen sesaham bagi tahun kewangan 2021, dengan tarikh penerimaan pada 5 Julai 2022 dan tarikh pembayaran pada 20 Julai 2022.


Bersama dengan dividen interim pertama 0.5 sen yang dibayar pada 20 Januari lalu, bayaran dividen bagi tahun kewangan 2021 adalah berjumlah RM3.2 juta atau 39 peratus daripada keuntungan bersih.


Ia melebihi polisi dividen Tuju Setia, iaitu untuk mengagihkan 25 peratus daripada keuntungan bersih tahunan.


Eng Kong berkata, syarikat menghargai pemegang saham yang sentiasa memberikan sokongan walaupun semasa tempoh mencabar.


"Menuju ke hadapan, Tuju Setia akan berusaha ke arah mengekalkan operasi perniagaan dan menguruskan kewangan secara berhemah semasa tempoh kitaran komoditi ketika ini.


"Kami berharap dapat mengekalkan aktiviti pembinaan pada paras kemuncak dan secara aktif menyertai tender untuk mendapatkan projek-projek baharu," katanya.


Sumber: Berita Harian

23 views

Comments


bottom of page