top of page

Tuju Setia bida projek pembinaan RM3.8 bilion


Tuju Setia Bhd

KUALA LUMPUR: Tuju Setia Bhd sedang memasuki tender bernilai RM3.8 bilion membabitkan projek pembinaan bangunan tinggi termasuk merancang dan membina hospital.


Pengarah Urusannya, Wee Eng Kong, berkata sejak dua bulan lalu, kumpulan itu telah dijemput oleh peneraju hartanah yang terkemuka bagi menghantar tender membabitkan projek kediaman dan bukan kediaman bertingkat tinggi.


Beliau berkata, terdapat juga permintaan tender untuk reka bentuk dan pembinaan kemudahan kesihatan seperti hospital, terutama daripada sektor swasta, bagi mengatasi masalah kekurangan katil di hospital di Malaysia.


"Kami melihat prospek yang positif di tengah-tengah sentimen ekonomi yang lembap.


"Rekod prestasi kami dengan pemaju hartanah yang bereputasi memberi peluang yang menguntungkan, kerana kami sentiasa ada bagi menyokong pelancaran baharu mereka, sekali gus, mengekalkan saluran penawaran mereka," katanya.


Tuju Setia memiliki kelayakan perkhidmatan pembinaan dalam Gred G7 serta kontraktor kategori B29 daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang membolehkannya melaksanakan pembinaan kemudahan penjagaan kesihatan dan hospital.


Eng Kong berkata, hasil tender berjumlah RM3.8 bilion itu kelak berpotensi untuk menokok tempahan dalam tangan yang sudah mencecah RM1.2 bilion ke arah pertumbuhan masa depan syarikat.


"Tempahan dalam tangan bernilai RM1.2 bilion kami merangkumi pakej kerja seperti Mutiara Central Office Suites (Cheras), Fasa 2 - Riana Dutamas (Segambut), The Pulse Residence (Bandar Puteri Puchong), Fasa 3 dan 4 - Emerald Hills (Cheras), TUAI Residence (Setia Alam), 121 Residences (Petaling Jaya), One Equine (Seri Kembangan) termasuk Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kajang," katanya.


Eng Kong berkata, kumpulan itu percaya bahawa projek itu mampu mengekalkan keuntungan Tuju Setia sehingga 2026.


Bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2021, Tuju Setia mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM950,000 dan pendapatan sebanyak RM45.70 juta.


Bagi separuh pertama tahun 2021, syarikat mencatatkan hasil terkumpul sebanyak RM104 .99 juta dan keuntungan bersih RM4.44 juta.


Keuntungan bersih Tuju Setia bagi separuh pertama 2021 merangkumi perbelanjaan penyenaraian sekali sahaja sebanyak RM970,000 bersempena dengan pelaksanaan Tawaran Awal Permulaan (IPO) dan keuntungan penjualan aset hak penggunaan sebanyak RM570 juta.


Tuju Setia telah disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd pada 19 Mei 2021.


Tidak ada perbandingan dengan suku dan tempoh yang sama tahun sebelumnya kerana ini adalah laporan kewangan interim kedua Tuju Setia ke atas hasil yang disatukan, yang diumumkan sesuai dengan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama. –BERNAMA


Sumber: Berita Harian

747 views

Comments


bottom of page