top of page

Tuanku Muhriz bangga dedikasi petugas barisan hadapan


YANG di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.

SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir menzahirkan rasa bangga terhadap dedikasi petugas barisan hadapan serta pihak yang membantu di belakang tabir dalam memerangi wabak COVID-19.


Bertitah pada Istiadat Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-14, hari ini, baginda turut melahirkan rasa kagum dengan komitmen rakyat apabila ramai menjadi sukarelawan dengan memberikan bantuan melalui pelbagai cara.


"Sesungguhnya peristiwa ini merupakan satu sejarah dan kita membuktikan bahawa kita mampu bekerjasama dan tolong-menolong antara satu sama lain tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan.


"Beta menyeru semangat ini terus diamalkan masyarakat walaupun ancaman wabak COVID-19 telah tiada nanti.


"Beta menyeru semua pihak bermuhasabah diri dan melihat semula peranan dan amanah yang telah dipertanggungjawabkan supaya matlamat untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat dan seterusnya menjadi negeri ini maju terlaksana," titah baginda.


Tuanku Muhriz bertitah, pandemik COVID-19 amat memberi kesan kepada manusia selain menjejaskan hampir kesemua sektor ekonomi dunia dan Malaysia serta Negeri Sembilan yang turut menerima impak negatif.


Baginda bagaimanapun bangga apabila kerajaan negeri mengambil tindakan proaktif dengan menyediakan peruntukan RM18.74 juta ke dalam Akaun Amanah Bencana Negeri bagi membiayai pelbagai program bantuan kepada rakyat dan barisan hadapan.


Antaranya bantuan makanan asas kepada 39,995 ketua isi rumah, bantuan tunai RM300 secara one-off kepada 10,000 penjaja/peniaga kecil berdaftar, dan bantuan tunai RM300 kepada 3,333 pemandu teksi berdaftar, e-hailing/grab dan pemandu kereta sewa.


Kerajaan negeri turut menyumbang RM500 kepada setiap keluarga pesakit yang dikesan positif COVID-19 dan bagi meringankan beban rakyat, kerajaan turut mengecualikan bayaran sewa rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) kepada 4,740 penyewa untuk Mac dan April yang akan menyebabkan kehilangan hasil negeri sebanyak RM1.24 juta.


Sebanyak RM100 ribu disumbangkan kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi membantu menjamin kesinambungan rantaian bekalan makanan di Negeri Sembilan.


"Kontraktor kecil Bumiputera juga tidak ketinggalan apabila kerajaan negeri meluluskan sebanyak 1,108 projek penyelenggaraan jalan di bawah Akaun Amanah Penyelenggaraan Jalan Raya Negeri (MARRIS) yang membabitkan peruntukan sebanyak RM269.44 juta.


"Beta dimaklumkan sebanyak RM5 juta diperuntukkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi bagi melaksanakan 65 projek pembangunan.


"Adalah diharapkan, melalui peruntukan ini, akan dapat membantu lebih ramai kontraktor kecil Bumiputera di samping membantu perniagaan lain dalam rantaian sektor pembinaan seperti perkakasan, kuari dan pasir," titah baginda.


Tuanku Muhriz turut mengucapkan tahniah kepada barisan kepemimpinan kerajaan kerana berjaya memperoleh kutipan hasil sebanyak RM556 juta pada 2019.


"Kutipan hasil ini adalah kutipan tertinggi dalam sejarah pentadbiran negeri ini dan melepasi sasaran iaitu RM430 juta.


"Beta berharap pencapaian cemerlang ini dapat diteruskan bagi 2020," titah baginda.



13 views
bottom of page