Transformasi landskap Sungai Segget



PROJEK Landskap Sungai Segget dan Naik Taraf Jalan Wong Ah Fook yang kini sudah 23 peratus siap, bakal menukar wajah pusat bandar raya Johor Bahru sebagai sebuah pusat bagi aktiviti rekreasi, kebudayaan dan komersial yang baharu untuk manfaat rakyat secara keseluruhan. Ia dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun depan.


Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, sebaik saja siap sepenuhnya, projek ini mampu membuka peluang yang luas kepada masyarakat peniaga di kawasan sekitar untuk meningkatkan perniagaan mereka.


Persekitaran yang bersih dan menarik akan mampu meningkatkan kedatangan pengunjung sekali gus melonjakkan aktiviti pelancongan.


"Kawasan dinaik taraf ini menawarkan kepada masyarakat suasana persekitaran lebih sihat, ceria dan santai bagi penganjuran aktiviti seni, budaya dan rekreasi untuk dinikmati oleh semua. Lokasi di sepanjang Sungai Segget bakal menjadi tumpuan aktiviti pengunjung, peniaga dan rakyat secara keseluruhan," katanya.


Selari dengan usaha bagi memenuhi agenda sosial tempatan dan alam sekitar, projek pengindahan landskap Sungai Segget ini memasukkan elemen fizikal digabung dengan arca seni dan berbudaya seperti swale, pencahayaan interaktif, taman permainan kanak-kanak, kerja memperkemas dan mencantikkan tembok sungai, kolam refleksi dan seni ukiran menyerlah budaya asli yang dihasilkan bakat artis tempatan melalui Projek Seni Awam Berasas Komuniti.


Wakil dari pelbagai sektor dan lapisan masyarakat, seperti pelajar sekolah baru-baru ini, diminta berkongsi idea kaedah menjadikan Sungai Segget sebagai tempat yang mesra kanak-kanak menerusi elemen reka bentuk yang secara serius dengan memasukkan ciri keselamatan dan perlindungan bagi kegunaan semua.


Projek pengindahan landskap Sungai Segget juga menerapkan aktiviti pengindahan dan keceriaan bangunan dengan kerja-kerja mengecat serta menaik taraf Jalan Wong Ah Fook.


Turut dibina ialah laluan rekreasi yang boleh diguna untuk aktiviti menggunakan beca, basikal dan skuter. Pengindahan Sungai Segget dibahagi kepada tiga zon iaitu Warisan dan Sejarah, Seni dan Budaya, Santai dan Ceria.


Bagaimanapun, pembinaan projek ini mematuhi prosedur operasi standard seperti mana ditetapkan kerajaan ketika penularan pandemik Covid-19.


Projek Pengindahan Landskap Sungai Segget dan Naik Taraf Jalan Wong Ah Fook ad

alah sebahagian daripada Projek Pemulihan Sungai Segget yang mana objektif keseluruhannya adalah untuk meningkatkan kualiti air Sungai Segget kepada dua kelas yang lebih tinggi bagi mengurangkan pencemaran Selat Tebrau dan menangani masalah banjir di pusat bandar raya Johor Bahru.


Seterusnya Projek Pemulihan Sungai Segget meliputi tiga fasa dan projek pengindahan landskap adalah fasa ketiga iaitu fasa terakhir bagi keseluruhan projek ini.


Fasa pertama melibatkan kerja pembinaan Loji Rawatan Bersepadu Sungai Segget yang siap pada April 2017, fasa kedua membabitkan Pembinaan Sistem Kumbahan dan Pencegahan Banjir disiapkan pada April 2017, manakala fasa ketiga adalah Projek Pengindahan Landskap Sungai Segget dan Kerja Naik Taraf Jalan Wong Ah Fook yang kini giat dilaksanakan.


Projek berkenaan juga selari dan menyumbang kepada Rancangan Transformasi Bandaraya Johor Bahru secara keseluruhan bagi merejuvenasi kawasan perniagaan pusat bandar raya sekali gus mengubahnya sebagai sebuah hab bagi menggerakkan aktiviti budaya, komersial dan masyarakat secara keseluruhan.


Sumber: Harian Metro


#evolusibina #Johor

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.