top of page

Tragedi Bukit Kukus: Siasatan siap, tunggu tindakan selanjutnya


Tragedi Bukit Kukus: Siasatan siap, tunggu tindakan selanjutnya

KEPALA BATAS, 4 Jan (Bernama) -- Siasatan dijalankan Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan kerajaan negeri Pulau Pinang menyiasat punca kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan lebuh raya berkembar di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong pada Okt lalu telah siap, kata Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.


Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa khas itu berkata laporan siasatan itu telah dibentangkan pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Disember lalu dan kini pihaknya menunggu keputusan MMK untuk tindakan selanjutnya.


“MMK turut menunggu beberapa jawatankuasa siasatan yang lain mengemukakan laporan siasatan yang lain terutamanya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)," katanya kepada Bernama selepas melawat Sekolah Kebangsaan Bumbung Lima, di sini, hari ini.


Beliau berkata buat masa ini MMK juga belum membuat keputusan berhubung status projek lebuh raya berkembar yang bernilai RM545 juta itu sama ada diteruskan ataupun tidak.


"Kita dimaklumkan pihak terlibat seperti MBPP dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) sudah ambil tindakan keselamatan dengan memastikan keadaan yang ditinggalkan disebabkan pemberhentian kerja-kerja di tapak projek itu tidak membahayakan orang ramai.


"MMK juga telah memanggil MBPP membentangkan laporan jawatankuasa siasatan dalaman mereka dan kita akan tengok daripada situ bagaimana nak suaipadan saranan-saranan yang dibuat kesemua jawatankuasa yang ditubuhkan itu sebelum kata putus diambil," katanya.


Ahmad Zakiyuddin berkata hasil siasatan dan laporan jawatankuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan DOSH akan dikenal pasti termasuk kelemahan yang timbul serta saranan dan tindakan selanjutnya yang perlu ambil.


"Kami difahamkan PDRM turut meneliti siasatan untuk melakukan pendakwaan begitu juga, DOSH yang sedang membuat siasatan, cuma kita tak tahu setakat mana," katanya.


Jawatankuasa Khas itu turut dianggotai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri Zairil Khir Johari; wakil Institut Kejuruteraan Malaysia negeri dan seorang jurutera dari pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).


Kejadian pada 1.56 tengah hari 19 Okt tahun lalu itu meragut nyawa 10 pekerja asing dan mencederakan empat yang lain serta melibatkan 13 kontena dan sebuah rumah kongsi.

-- BERNAMA


Sumber: Bernama


18 views
bottom of page