top of page

Tragedi Bukit Kukus: Pulau Pinang tunggu laporan DOSH


Tragedi Bukit Kukus: Pulau Pinang tunggu laporan DOSH

GEORGETOWN: Kerajaan negeri akan menunggu laporan dan keputusan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), sebelum semua hasil siasatan kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan lebuh raya di Bukit Kukus didedahkan kepada umum.


Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata pihaknya juga sudah menerima laporan siasatan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jawatankuasa Khas Siasatan, dan ia akan diserahkan kepada DOSH bagi langkah seterusnya.


“Kita sudah terima kedua-dua laporan tetapi ia hanya untuk pengetahuan dalaman sahaja.


“Kita tunggu hasil laporan DOSH dahulu, dan jika DOSH arah supaya ia diumum kepada awam, kita akan umum (hasil siasatan).


“Namun apa yang saya boleh beritahu, kejadian tanah runtuh ini adalah berpunca daripada isu keselamatan di tapak pembinaan,” katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), hari ini.


Isnin lalu, Kon Yeow berkata, hasil siasatan bagi kejadian tanah runtuh di Projek Pembinaan Jalan Berkembar Paya Terubong di Jalan Bukit Kukus, akan dibentangkan kepada kerajaan negeri, hari ini.


Dalam kejadian 19 Oktober lalu, sembilan mangsa ditemui maut tertimbus, manakala tiga lagi cedera di tapak projek jalan berkembar Bukit Kukus.


Projek bernilai RM545 juta itu dijangka siap pada Mac 2020 kerana beberapa faktor antaranya cabaran di tapak dan proses pengambilan tanah.


Projek itu membabitkan empat bahagian, termasuk bahagian pertama iaitu pelebaran Lebuh Raya Thean Teik yang sudah siap sepenuhnya pada awal tahun ini.



14 views
bottom of page