KUALA LUMPUR: Isu projek perumahan terbengkalai yang memangsakan pembeli, sekali lagi dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Dalam perbahasannya, Natrah Ismail (PH-Sekijang) menggesa campur tangan dan penyelesaian tuntas kerajaan terhadap projek perumahan di Taman Tengku Abdul Rahman di Segamat, Johor yang sudah terbengkalai sejak lebih 15 tahun lalu.
Tegasnya, projek terbengkalai itu menyebabkan pembeli menjadi mangsa apabila terpaksa membayar pinjaman perumahan untuk rumah yang tidak kunjung tiba.
"Projek perumahan swasta ini bermula pada 2003 dan sepatutnya siap pada Oktober 2005, namun ia tergendala pada 16 Mac 2012.
"Apa yang dikesali ialah terdapat pembeli rumah yang masih membayar ansuran pinjaman hingga kini menggunakan simpanan mereka walaupun projek perumahan tidak lagi diteruskan pemaju.
"Saya difahamkan pembeli telah menghantar surat aduan kepada Menteri Besar Johor dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 24 Julai 2018, namun sehingga tiada sebarang makluman dan tindakan ke atas isu ini," katanya.
Natrah memaklumkan turut membangkitkan perkara sama dalam sesi Kamar Khas pada sidang Parlimen tahun lalu, namun kecewa dengan jawapan diberikan menteri ketika itu.
"Jawapan menteri ketika itu seolah-olah tiada tindakan yang boleh diambil oleh kerajaan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
"Kementerian perlu teliti kembali isu projek perumahan terbengkalai ini dan mengambil tindakan bagi menyelesaikan masalah pembeli yang berlarutan lebih 15 tahun," katanya yang meminta menteri turun padang melihat projek berkenaan.
Semalam, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru) turut membangkitkan isu sama di Dewan Rakyat, dan menggesa Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) dipinda bagi mengawal dan melindungi pembeli skim rumah mampu milik.
Ia berikutan ramai pembeli rumah mampu milik berdepan isu projek yang terbengkalai dan lewat siap, dan projek perumahan mampu milik akan dilihat sebagai 'scam' jika ia dibiarkan berterusan.
Dalam perkembangan sama, isu pembasmian kemiskinan, pembangunan Bumiputera, keciciran pendidikan dan gesaan mengundi diwajibkan antara yang dibangkitkan pada sesi pagi pagi perbahasan RMK12.
Isu pembangunan tidak seimbang antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung pula antara perkara utama dibahaskan pada sesi petang, di samping gesaan maklumat mengenai Perjanjian Malaysia 1963 didedahkan.
Sidang Dewan Rakyat akan diteruskan dengan perbahasan dan penggulungan RMK12 pada minggu depan, sebelum diteruskan dengan perbahasan membabitkan rang undang-undang dan urusan kerajaan lain pada minggu terakhir hingga 12 Oktober.
Sumber: Berita Harian
Comments