top of page

TNB siap siaga hadapi banjir



PERSIAPAN rapi sudah diatur oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menghadapi musim tengkujuh kali ini khususnya dalam siap siaga menguruskan banjir.


Ketua Pegawai Rangkaian Pengedaran TNB, Datuk Baharin Din berkata, pihaknya sudah pun mengadakan mesyuarat koordinasi banjir bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah selain melaksanakan sesi latihan bagi menghadapi bencana itu.


Menurutnya, persediaan turut membabitkan siap siaga set janakuasa bergerak serta set janakuasa mudah alih di beberapa lokasi strategik.

“Pasukan Bertindak Kecemasan yang bertugas 24 jam sehari akan digerakkan untuk membuat penyambungan semula bekalan elektrik yang terputus akibat pokok tumbang atau sebab lain dengan kadar segera.


“Susulan banjir pada 2014, TNB turut mengambil langkah meninggikan tapak pencawang serta membina penghadang banjir di pintu masuk pencawang.


“Selain itu, kita juga akan membuka bilik gerakan di negeri yang terbabit dengan banjir untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini berkaitan bekalan elektrik.


“Ini juga antara langkah kami dalam meminimumkan kerosakan pepasangan TNB,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Jelas Baharin, jika terdapat pencawang elektrik yang ditenggelami air dan operasi terpaksa dihentikan, penyambungan semula akan dibuat selepas keadaan selamat.

Beliau juga menasihati pengguna supaya berhati-hati ketika menggunakan peralatan elektrik sekiranya premis mereka dinaiki air.


“Pengguna yang terputus bekalan elektrik ketika musim banjir dinasihatkan untuk segera menghubungi TNB di talian 15454 atau Facebook TNB Careline untuk tindakan segera kami.


“Elakkan menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembap kerana ia boleh menyebabkan renjatan elektrik.


“Jika banjir sudah surut, sebaiknya pengguna mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga untuk memeriksa pendawaian di dalam premis mereka yang dinaiki air,” katanya.


Sumber: Harian Metro


9 views
bottom of page