top of page

TM ONE, JKR jalin kerjasama perintis IOT


KUALA LUMPUR 27 Mac - Telekom Malaysia Bhd. (TM) melalui unit rumusan perniagaannya, TM ONE dan Jabatan Kerja Raya (JKR) baru-baru ini menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menjalinkan kerjasama strategik untuk menjadikan JKR sebagai perintis teknologi Internet of Things (IoT) untuk kerajaan Malaysia serta agensi-agensinya.


Ketua Pegawai Eksekutif, TM ONE, Ir. Ts Azizi A. Hadi berkata, usaha sama tersebut mencerminkan komitmen kedua-dua pihak melalui kerjasama strategik untuk menyumbang kepada perkembangan industri pembinaan dengan menyediakan lebih banyak kemudahan jalan raya yang efisien, sistem lampu isyarat pintar dan bangunan pintar serta membolehkan perkembangan ekonomi digital negara.


Katanya, kerjasama strategik itu juga akan memperlihatkan kedua-dua pihak membentuk asas yang meliputi rangka kerja inisiatif bersama dan kajian pelaksanaan dalam pembangunan teknologi IoT yang merangkumi antara lain perkara-perkara seperti pembangunan platform IoT bagi industri pembinaan; menghubungkan negara melalui sistem laporan awam dalam talian; pelaksanaan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dengan sistem pengurusan trafik pintar dan pengangkutan pintar serta mengoptimumkan pengurusan aset, termasuk pengurusan pengangkutan.


“Kami amat teruja untuk bekerjasama erat dengan pihak JKR bagi memacu penyampaian perkhidmatan dan penyelesaian digital untuk membantu agensi-agensi kerajaan menangani pelbagai cabaran merentas pelbagai sektor seperti pengangkutan, keselamatan, kemampanan alam sekitar dan sosial serta perkhidmatan awam.


“Sebagai nadi penggerak kepada aspirasi Digital Negara, TM melalui TM ONE amat komited untuk memainkan peranan strategiknya dalam merealisasikan aspirasi Kerajaan Digital melalui Penyelesaian Digital dan Sambungan, selari dengan visi TM untuk ‘Menjadikan Hidup dan Perniagaan Lebih Mudah Demi Kesejahteraan Malaysia’,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


MoU tersebut telah ditandatangani oleh Ts Azizi dan Naib Presiden Jualan TM ONE, Mohd. Roslan Mohd Rashidi manakala JKR telah diwakili oleh , Timbalan Ketua Pengarah JKR, Ir. Kamaluddin Abdul Rashid dan Pengarah Perkhidmatan Rekabentuk, Cawangan Kejuruteraan Elektrik, JKR, Datuk Ir. Shuib Tabri.


Majlis menandatangani berkenaan turut disaksikan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan, Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Ir. Dr. Roslan Md Taha, dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar.



28 views
bottom of page