top of page

Tiada Kompromi, Empat Kontraktor Dihentikan Dan Digantung

Oleh: Rusnan Mustafa


Chan (dua kanan) mendengar penerangan ringkas berkaitan jalan persekutuan, protokol dan negeri dari Taufiq (kiri) sambil ditemani (dari dua kiri) Goh, Taufik dan Vincent.

KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menamatkan dan menggantung empat syarikat kontraktor pada tahun 2018 kerana  gagal menjalankan tugas bagi memastikan landskap bandar raya ini sentiasa dijaga dan diselenggara dengan baik.


Datuk Bandar MBKS Datuk James Chan menegaskan, pihaknya tidak berkompromi kepada mana-mana kontraktor yang gagal menjalankan tanggungjawab yang diberikan kerana ia boleh menjejaskan imej MBKS dan Bandar Kuching sebagai lokasi pelancongan.


"Kita tidak berkompromi dalam hal ini kerana kita mahu mereka yang mendapat tender ini menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti.


"Kita memandang serius perkara ini kerana imej bandar raya ini bergantung kepada mereka (kontraktor) jika mereka gagal menyelenggara landskap jalan termasuk pembersihan sistem perparitan dengan baik ia menjejaskan imej kita dan bandar raya ini," katanya pada sidang media di bilik mesyuarat MBKS di sini, hari ini.


Malah, Chan mendedahkan, setiap tahun dianggarkan sebanyak RM4.5 juta diperuntukan kepada MBKS bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan landskap jalan termasuk memotong rumput dan pembersihan sistem perparitan di bawah seliaan majlis itu.


"Kita mempunyai pasukan audit yang baharu ditubuhkan bagi memantau perkara ini selain penyelia dan kaunselor yang ditugaskan setiap zon agar kontraktor yang dipertanggungjawabkan melaksanakan kerja mereka dengan baik," jelasnya.


Pada masa sama beliau meminta kerjasama daripada orang ramai terutamanya penduduk di kawasan MBKS untuk bersama-sama memastikan keindahan dan kecantikan Bandar Kuching sentiasa dijaga dan dipelihara dengan baik.


"Kita juga menggalakkan orang ramai bersama-sama memantau perkara ini atau membuat sebarang aduan berkaitan menerusi aplikasi iPeople yang kita wujudkan," tambahnya.


Selain itu, beliau memberitahu MBKS sedia menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengekalkan keindahan bandar raya ini demi menjayakan Tahun Melawat Sarawak 2019.


Menurutnya, kerjasama itu penting bagi memastikan kerja-kerja penyelenggaraan kawasan di bandar raya ini tidak terjejas dan berjalan lancar.


Jelasnya, isu rumput panjang yang tidak dipotong dan menjadi perhatian umum boleh menjejaskan imej Bandar Kuching sebagai lokasi pelancongan.


"Bagi menjayakan Tahun Melawat Sarawak 2019, semua pihak harus bekerjasama bagi memastikan keindahan dan kecantikan Bandar Kuching sentiasa dijaga.


"Sehubungan itu, kita (MBKS) sedia bekerjasama dengan pihak JKR dalam usaha memastikan kerja-kerja mencantikkan dan mengindahkan Bandar Kuching dapat dipelihara serta berjalan lancar," katanya.

Pada masa sama Chan memberitahu, tidak semua jalan raya dalam kawasan MBKS di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab pihaknya untuk diselenggara atau kerja-kerja berkaitan.


"Seperti Jalan Persekutuan, Jalan Protokol serta Jalan Negeri adalah di bawah tanggungjawab JKR untuk penyelenggaraan termasuk kerja-kerja memotong rumput dan membersihkan sistem perparitan.


"Tetapi jika kita menerima aduan daripada orang ramai berkaitan jalan-jalan ini, kita terus sampaikan kepada pihak yang dipertanggungjawabkan agar masalah tersebut dapat perhatian dan tindakan segera," jelasnya.


Hadir sama Jurutera MBKS Mohd Taufiq, Kaunselor Goh Tze Hui, Kaunselor Mohd Taufik Abdul Ghani dan Setiausaha MBKS Vincent Ang.



4 views
bottom of page