Tiada justifikasi buka semula tender KVDT2


Projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT2) - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Rancangan untuk membuka semula tender Projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT2) tidak mempunyai justifikasi berfakta atau undang-undang, kata Ketua Pegawai Eksekutif Dhaya Maju-LTAT Sdn Bhd, Datuk Mohamed Razeek Hussain.


Beliau berkata, Dhaya Maju-LTAT pada awalnya menerima Surat Penganugerahan asal bertarikh 4 April 2018 bagi projek KVDT2 semasa di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN), yang mana syarikat sudah pun memulakan kerja.


Katanya, semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih, penganugerahan KDVT2 ditamatkan pada 19 Oktober 2018.


"Selepas menerima bahawa tiada asas untuk menamatkan Surat Penganugerahan asal, kerajaan PH pada 5 Julai 2019 bersetuju untuk melantik Dhaya Maju-LTAT bagi melaksanakan projek KVDT2 dan semua pihak memeterai Perjanjian Penyelesaian, yang mana kerajaan bersetuju untuk mengeluarkan Surat Penganugerahan baharu.


"Sebagai balasan, Dhaya Maju-LTAT mengenepikan semua tuntutan terhadap kerajaan kerana penamatan yang tidak berasas," katanya dalam satu kenyataan.


Pada 28 Ogos lalu, Kementerian Pengangkutan berkata akan membuka semula tender bagi projek KVDT2.


Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, ia selepas mengambil kira keputusan kajian dan siasatan lanjut yang mendapati kos projek yang diterima Dhaya Maju-LTAT adalah melebihi yang sepatutnya semasa pentadbiran kerajaan PH.


Menjelaskan dakwaan itu, Mohamed Razeek berkata, Dhaya Maju-LTAT dilantik untuk meneruskan projek KVDT2 di bawah Surat Penganugerahan bertarikh 19 Ogos 2019 pada nilai kontrak lebih rendah.


"Nilai kontrak yang dikurangkan itu diperoleh selepas beberapa siri pengurusan nilai dan makmal kejuruteraan nilai yang dilaksanakan dengan penyertaan semua pihak berkepentingan serta dipimpin oleh pakar teknikal dari Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Railway Assets Corporation (RAC), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).


"Justeru, kami berasa terkilan dan keliru dengan kenyataan Menteri berdasarkan beberapa laporan berhubung kos projek itu yang tidak kami ketahui.


"Untuk rekod, kerja-kerja sedang dipantau oleh perunding profesional dan semua tuntutan diperiksa serta disahkan sebelum pembayaran diluluskan," katanya.


Sumber: Berita Harian


#evolusibina #JKR #KTM #KVDT

3 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.