top of page

Terminal bas KB Sentral bernilai RM64 juta dijangka siap pada 2026


Terminal Bas Kota Bharu Sentral (KB Sentral)
Gambar hiasan: Ilustrasi Terminal Bas Kota Bharu Sentral (KB Sentral)

Terminal Bas Kota Bharu Sentral (KB Sentral)

KOTA BHARU: Terminal Bas Kota Bharu Sentral (KB Sentral) yang bernilai kira-kira RM64 juta dijangka siap pada penghujung 2026, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.


Beliau berkata projek yang dibangunkan sebagai kawasan Pembangunan Berorientasikan Transit itu akan mula dilaksanakan dalam masa terdekat di kawasan seluas 2.02 hektar dekat Mukim Pendek, di sini.


Katanya, terminal KB Sentral ini terletak bersebelahan dengan tapak cadangan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang konsepnya memenuhi ciri-ciri Islamik, mesra alam dan teknologi hijau, mesra pejalan kaki dan Orang Kurang Upaya, selain dilengkapi kemudahan awam seperti pusat konvensyen, tempat letak kereta awam dan hotel.


"Pembangunan projek ini akan dilaksanakan secara penswastaan yang segala kos tanah dan pembangunan projek ini akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat pemaju.


"Syarikat Widad melalui syarikat bertujuan khas (SPV) iaitu Innovative City Holdings Sdn Bhd akan melaksanakan pembangunan dan pengoperasian KB Sentral," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Lantik Pemaju Projek Pembangunan KB Sentral, di sini hari ini.


Mengulas lanjut, Ahmad berkata kerajaan negeri menaruh harapan dengan pembangunan KB Sentral ini untuk dijadikan sebagai hab sistem pengangkutan yang berkualiti kepada rakyat Kelantan.


"Pembangunan KB Sentral ialah seiring dengan pembinaan projek ECRL yang telah bermula pada 2020 dan dijangka siap pada 2027.


"Kerajaan negeri juga amat menggalakkan peranan dan keterlibatan sektor swasta dalam rancangan pembangunan bandar baharu Tunjong terutama sektor perumahan dan perniagaan," katanya.


Sumber: Astro Awani

41 views

Comments


bottom of page