
KUALA LUMPUR: Terengganu muncul salah satu destinasi pilihan pelabur asing di Malaysia apabila berjaya menarik pelaburan asing lebih RM1 bilion dalam tempoh lima tahun ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Sivasuriyamoorthy Sundara Raja, berkata dari 2017 hingga Jun 2022, terdapat 29 projek pembuatan telah diluluskan dan dilaksanakan di Terengganu dengan jumlah pelaburan RM2.3 bilion.
"Lebih separuh daripada pelaburan ini adalah daripada sumber asing, yang merekodkan pelaburan berjumlah RM 1.27 bilion.
"Projek-projek ini telah memainkan peranan penting dalam mewujudkan lebih 1,727 peluang pekerjaan, terutamanya dalam bidang produk petroleum (termasuk petrokimia), kimia dan produk kimia, produk mineral bukan logam, kayu dan produk kayu, serta mesin dan peralatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Siri Pelaburan Mengenai Peluang dan Potensi Pelaburan Negeri Terengganu di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Terengganu, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar.
Mengulas lanjut, Sivasuriyamoorthy berkata, Januari hingga Mac 2022, pelaburan bernilai RM7.2 juta telah diluluskan di negeri itu membabitkan industri pembuatan makanan dan kayu dan produk kayu.
"Kami gembira melihat syarikat terkenal memanfaatkan kelebihan infrastruktur Terengganu yang mantap dan rangkaian perkhidmatan sokongan yang berpengalaman.
"Ini termasuk JXR Manufacturing Sdn Bhd, CJ Bio Malaysia Sdn Bhd, Syarikat Bitumen Kemaman Sdn Bhd, Arkema Thiochemicals Sdn Bhd, Encompass Industries Sdn Bhd dan Eastern Steel Sdn Bhd.
"Syarikat-syarikat ini menawarkan ruang untuk bekerjasama dan peluang selanjutnya untuk perniagaan tempatan," katanya.
Sementara itu Tengku Hassan dalam ucapan pembukaannya berkata, Terengganu telah membuat kemajuan yang besar baru-baru ini melalui Taman Biopolimer Kerteh apabila kedua-dua Fasa 1 dan Fasa 2 telah diambil sepenuhnya.
"Fasa ketiga taman ini telah dibuka tahun lalu untuk menampung permintaan yang semakin meningkat daripada pelabur.
"Sehingga hari ini, jumlah pelaburan terkumpul di Taman Biopolimer Kerteh telah meningkat kepada RM 5.6 bilion, dengan lebih 5,000 pekerjaan diwujudkan untuk rakyat Terengganu.
"Terengganu komited untuk meningkatkan pertumbuhan ekonominya dengan menambah lebih banyak taman perindustrian daripada 25 kawasan perindustrian semasa meliputi sejumlah 4,158.26 hektar tanah iaitu Taman Perindustrian Kerteh Terengganu, Taman Perindustrian Pulau Kerengga dan Terengganu Silica Valley," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments