KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen kerajaan berpendapat pemberian tender secara terus boleh diamalkan, namun urusannya 'dihadkan' membabitkan projek tertentu.
Datuk Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo) berkata kaedah itu boleh dipertimbangkan untuk dilaksanakan bagi mengelak permulaan sesuatu projek dilengahkan dalam tempoh lama.
Namun begitu, beliau menyokong penuh dan menerima baik hasrat kerajaan untuk memastikan kelulusan membabitkan perolehan tender kerajaan termasuk pelaksanaannya melalui proses yang telus dan terbuka, berlandaskan tata kelola yang baik.
"Ia untuk mengelakkan rasuah dan juga ketirisan. Namun, saya menyarankan kaedah rundingan terus masih boleh digunakan untuk specialized project (projek khusus).
"Ini kerana, acapkali kita melihat projek kerajaan lulus tahun ini, tetapi hanya boleh dilaksanakan selepas dua tiga tahun. Kerajaan dan rakyat bukan sahaja akan rugi dari segi masa tetapi kos juga bakal meningkat.
"Tender terbuka juga bakal melambangkan proses pelaksanaan projek-projek pembangunan dan satu lagi perkara penting, rombakan proses perolehan ataupun 'procurement process revamp' dan tata pelaksanaan projek juga perlu berubah serta melakukan satu perubahan besar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada membahaskan usul Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun lalu pernah menegaskan supaya tata kelola pentadbiran kerajaan baharu yang beliau pimpin ketika ini, tidak boleh lagi berlaku kelulusan perolehan tanpa tender.
Anwar berkata Kerajaan Perpaduan yang mentadbir Putrajaya sekarang tidak akan mengizinkan sebarang kebocoran, ketirisan dan rasuah terus berleluasa.
Sumber: Berita Harian
Comments