KUALA LUMPUR: Keupayaan teknologi baharu Mesin Pengorek Terowong Ketumpatan Berubah (VDTBM) bagi kerja bawah tanah projek Transit Aliran Massa (MRT) jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) dijangka dapat membantu pembinaan terowong siap lebih awal dari dijadualkan.
Setakat 31 Oktober lalu, keseluruhan kemajuan bagi pembinaan projek MRT SSP Line sudah mencapai 63.5 peratus.
Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) Sdn Bhd, Datuk Najmuddin Abdullah, berkata peringkat projek di beberapa stesen sudah melepasi jangkaan antara tujuh hari sehingga sebulan lebih awal dari jadual asal.
Katanya, satu unit VDTBM yang direka khas mampu menggerudi terowong sejauh maksimum lapan meter sehari dan kini sudah mencapai 14.4 kilometer.
“Jumlah panjang terowong berkembar ialah 24 kilometer (dua hala) dari kawasan utara ke selatan.
“Bagi projek penggalian terowong, MRT Corp menggunakan 12 unit TBM iaitu lapan VDTBM yang dibaik pulih dan empat VDTBM baharu dengan setiap VDTBM memiliki diameter bersaiz 6.6 meter.
“Setakat ini, kerja penggalian terowong di lapan stesen dari utara ke selatan sudah selesai iaitu antara Stesen Titiwangsa ke Stesen Sentul Barat; Stesen Titiwangsa ke Stesen Hospital Kuala Lumpur (HKL); Stesen HKL ke Stesen Kampung Baru Utara ; Stesen Kampung Baru Utara ke Stesen Ampang Park; Stesen Bandar Malaysia Utara ke Stesen Chan Sow Lin dan Stesen Bandar Malaysia Utara ke Stesen Bandar Malaysia Selatan,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan acara penembusan VDTBM yang sudah selesai laluan terowong dari Stesen HKL ke Stesen Ampang Park, hari ini.
Penembusan terowong adalah acara disambut gilang-gemilang oleh golongan industri penerowongan.
Acara berkenaan turut dihadiri pengurusan tertinggi dan kakitangan MMC-Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd dan MRT Corp Sdn Bhd sebagai pemilik projek.
Najmuddin berkata, penggalian terowong yang masih belum selesai adalah dari stesen Sentul Barat ke North Portal; Conlay ke KLCC Timur dan Ampang Park, Conlay ke Tun Razak Exchange (TRX) dan Chan Sow Lin ke Stesen Tun Razak Exchange (TRX).
Pada sidang media sama, Pengurus Projek Kanan Kerja Bawah Tanah MRT Corp, Alex Terry, berkata antara cabaran besar kerja pengorekan bawah tanah apabila berdepan struktur geologi khususnya jenis tanah keras seperti batu kapur karstik dengan ciri batu tidak konsisten.
“Penyiasatan bawah permukaan tanah harus dilakukan sebelum sebarang aktiviti penggalian dibuat.
“Biasanya situasi kerja pengorekan di bawah bangunan sedia ada terpaksa dilencongkan bagi mengelak terkena cerucuk bangunan berkenaan.
“Bull Gang (pasukan pemantau khas) juga diarah memantau pergerakan tanah sambil kerja pengorekan tanah dilakukan supaya tidak berlaku mendapan atau gegaran tanah yang kritikal,” katanya.
MRT Corp sebelum ini menjangka fasa pertama dari Stesen Sungai Buloh ke Stesen Kampung Baru akan siap menjelang Julai 2021, manakala fasa kedua dari Stesen Kampung Batu ke Stesen Putrajaya Sentral dijadual beroperasi menjelang Julai 2022.
Terowong pertama yang sudah siap dibina ialah di antara Stesen MRT Bandar Malaysia Utara dan Stesen MRT Chan Sow Lin.
Ini antara 16 laluan terowong diperlukan untuk melengkapkan stesen bawah tanah sepanjang 27 kilometer (bagi arah utara dan selatan).
Sumber: Berita Harian
Comments