top of page

Tekanan air rendah diatasi, lebih 10,000 pengguna lega


Tekanan air rendah diatasi, lebih 10,000 pengguna lega
Pemasangan paip baharu yang dilaksanakan pihak Air Selangor bagi mengatasi masalah tekanan air rendah.

Kira-kira 10,000 pengguna air di Kampung Sungai Sireh, Flat Sri Perantau dan sekitarnya di Klang sudah boleh menarik nafas lega.


Ini kerana, masalah tekanan bekalan air rendah dihadapi mereka berakhir berikutan pemasangan paip baharu siap dibina pada September tahun lalu.


Pengerusi Surau Sungai Sireh, Ahmad Ismail berkata, sebelum itu masalah tekanan air rendah di kawasannya bertambah setiap kali menjelang musim perayaan dan cuti sekolah.


Menurutnya, lebih 400 buah rumah khususnya di kawasan Kampung Sungai Sireh kerap berhadapan dengan situasi itu sehingga menyukarkan urusan seharian mereka.


“Tetapi selepas kerja-kerja pemasangan paip baharu di kampung ini selesai, keadaan air di rumah sudah bertambah baik. Kami sudah tidak perlu lagi risau dengan masalah air.


“Dalam masa tiga hingga empat bulan lalu perbezaannya amat ketara, kalau dulu perlu guna pam air tetapi sekarang ada yang tidak menggunakan pam air dan air boleh digunakan.


"Kami juga yakin masalah tekanan air rendah tidak lagi dihadapi di masa depan walaupun kapasiti pengguna terus bertambah berbanding sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian.


Perkembangan positif ini berlaku berikutan pemasangan paip baharu yang dilaksanakan pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) pada Februari 2021 dan disiapkan pada September 2022.

Kerja-kerja pemasangan dan penggantian paip sedang dilakukan.

Projek dengan kos keseluruhannya berjumlah RM2.55 juta itu melibatkan pengagihan semula air terawat daripada Kolam Air Bandar Sultan Sulaiman Fasa 4, Klang dengan pemasangan paip baharu bersaiz 450mm di sepanjang 0.92 kilometer (km) daripada Bandar Sultan Sulaiman merentasi Sungai Klang sehingga ke Kampung Sungai Sireh dan kawasan Flat Sri Perantau, Klang.


Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Ir. Abas Abdullah menjelaskan, penduduk di sekitar kawasan terbabit sebelum ini menghadapi masalah tekanan air rendah disebabkan lokasinya di penghujung sistem agihan air daripada Kolam Air Bukit Rajah Industri dengan jarak melebihi 13 km.


Malah, sekiranya terdapat gangguan bekalan air yang melibatkan kolam agihan berkenaan, masa pemulihan akan mengambil tempoh masa yang lama.


"Selepas projek ini disiapkan, masalah tekanan air di kawasan ini dapat dipertingkatkan.


"Dengan penyiapan projek ini, lebih 10,000 orang penduduk telah menerima manfaat dan menerima bekalan air dengan tekanan yang lebih baik," kata Abas.


Masalah selesai

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Kandis, Zarwazi Khatib turut merakamkan setinggi penghargaan kepada Air Selangor kerana turut melaksanakan projek pemasangan paip baharu di Kampung Sungai Kandis.


“Penduduk sebelum ini sering menghadapi kesulitan dengan masalah air tetapi lepas siapnya projek ini pada September tahun lalu, penduduk lega sebab masalah tekanan air rendah selesai.


"Mereka tidak lagi risau termasuk untuk membasuh pakaian lebih kerap berbanding sebelum ini mereka perlu tadah air kerana kadang-kadang air mengalir terlalu kecil," katanya.


Sebagai rekod, projek pemasangan paip baharu di Sungai Kandis dan Jalan Kebun dibina bagi mengatasi masalah tekanan air rendah di kawasan sekitar Jalan Kebun khususnya masalah tekanan air rendah di Kampung Sungai Kandis.


Pelaksanaan projek ini juga adalah sebagai satu inisiatif Air Selangor untuk memberi jaminan bekalan air bersih dan stabil kepada pengguna di samping untuk menurunkan kadar NRW di negeri Selangor.


Abas menjelaskan projek tersebut mula dilaksanakan pada bulan Oktober 2020 dan disiapkan pada bulan November 2022.


"Projek dengan kos keseluruhannya telah menelan belanja sebanyak RM4.7 juta melibatkan pemasangan paip baru bersaiz 500mm diameter sepanjang empat km daripada Kolam Air Alam Impian ke paip agihan sedia ada bersaiz 300mm dan 400mm diameter di Jalan Kebun.

Proses penggantian paip baharu di Jalan Kebun memberi kelegaan kepada penduduk setempat.

"Melalui perlaksanaan projek ini, ia telah memberi manfaat kepada pengguna di kawasan sekitar Kampung Sungai Kandis dengan memberikan penyelesaian kepada masalah tekanan air rendah terutamanya ketika waktu puncak dan musim perayaan," katanya.


Beliau menambah perlaksanaan projek tersebut juga memberi ruang kepada pelbagai pihak untuk bekerjasama bagi memastikan kelancaran projek ini.


"Sepanjang projek ini dijalankan, kerjasama yang erat di antara pihak penduduk kampung dan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Klang telah membantu dalam menyiapkan projek ini seperti yang ditetapkan dan secara tidak langsung telah menjalinkan hubungan baik antara Air Selangor, penduduk setempat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan tersebut.


"Pihak Air Selangor juga telah menitikberatkan aspek keselamatan bagi menyediakan satu keadaan kerja yang selamat kepada pekerja, penduduk setempat dan pengguna jalan raya di kawasan tersebut," katanya.


Abas berkata, projek itu juga telah memainkan peranan penting dengan melaksanakan kerja membaik pulih infrastruktur sedia ada khususnya jalan raya di Sungai Kandis yang melibatkan kawasan penanaman paip sejajar dengan syarat-syarat oleh pihak berkuasa khususnya JKR Klang.


"Ini secara tidak langsung telah memberikan keselesaan dan meningkatkan keselamatan pengguna di jalan tersebut," katanya.


Sumber: Sinar Harian



コメント


bottom of page