top of page

Tebing runtuh undang bahaya


ALOR GAJAH: Pengguna jalan raya diminta berhati-hati menggunakan laluan di Kilometer 22, Jalan Kampung Rantau Panjang-Bukit Apit, di Kampung Rantau Panjang, di sini, berikutan kejadian tebing runtuh di kawasan itu.


Tebing curam setinggi kira-kira lima meter itu mengundang bahaya kepada pengguna jalan berkenaan kerana tanah yang runtuh di tebing semakin melebar ke bahagian bawah jalan.


Kejadian itu berlarutan sejak dua bulan lalu berikutan hujan lebat pada Disember yang menyebabkan tebing jalan semakin terhakis sebelum sebahagian besar tebing runtuh.


Lebih membimbangkan, ia hanya menunggu masa menyebabkan jalan raya itu terputus.


Penduduk Kampung Rantau Panjang yang hanya ingin dikenali sebagai Norjan, 50-an, berkata hujan lebat sepanjang Disember lalu menyebabkan bahagian lembah di laluan itu semakin terhakis.


“Tanah yang menutupi kolong di bawah jalan semakin teruk terhakis dan ia menyebabkan kedudukan kolong sedikit terpesong daripada kedudukan asalnya,” katanya yang ditemui ketika memancing di sungai berhampiran lokasi kejadian, di sini, hari ini.


Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Alor Gajah, Hafrin Salleh berkata, Kementerian Kerja Raya akan memperuntukkan sebanyak RM500,000 untuk kerja membina tembok konkrit bagi menahan tanah di tebing jalan berkenaan.


“Pengguna jalan raya bernasib baik kerana sekarang musim kemarau dan ketiadaan hujan menyebabkan hakisan di tebing jalan itu tidak serius.


“Kami sudah mengeluarkan tender kepada kontraktor untuk melantik perunding bagi merangka pelan pembaikan tebing itu.


“Sebaik pelan siap, kerja pembaikan tebing akan segera dilaksanakan dan sementara menunggu ia dimulakan, pengguna jalan raya perlu berhati-hati ketika melalui jalan ini,” katanya.


Dalam pada itu, Hafrin turut melahirkan rasa kesal apabila peralatan lampu amaran berkelip yang dipasang di kawasan lencongan jalan dicuri.


“Kita memasang lampu amaran berkelip ini bagi memudahkan pengguna jalan raya mengesan laluan dilencongkan. Kita menggesa mereka (pengguna) lebih prihatin dan tidak mencuri peralatan keselamatan ini,” katanya.


Sumber: Berita Harian


17 views
bottom of page