top of page

Tebatan banjir RM1.11 bilion di Selangor, bukti keprihatinan Kerajaan Persekutuan, negeri


Tebatan banjir RM1.11 bilion di Selangor, bukti keprihatinan Kerajaan Persekutuan, negeri
Foto fail NSTP/Shah Alam 19 Disember 2021: Keadaan banjir berhampiran Seksyen 25 Sri Muda Shah Alam berikutan hujan lebat.

Tebatan banjir RM1.11 bilion di Selangor, bukti keprihatinan Kerajaan Persekutuan, negeri

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor komited dalam usahanya memastikan masalah banjir di negeri itu dapat diselesaikan secara tuntas dengan memantau rapi semua projek tebatan banjir berjalan mengikut masa yang ditetapkan.


Selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyegerakan projek tebatan banjir di empat negeri termasuk Selangor, setakat ini negeri itu telah berjaya menyelesaikan 25 daripada 85 projek berkenaan dengan peruntukan kerajaan Persekutuan dan negeri kira-kira RM1.11 bilion.


Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Izham Hashim, berkata 25 projek itu telah siap sepenuhnya, manakala selebihnya masih di peringkat pelaksanaan (kerja fizikal), prapelaksanaan (reka bentuk) dan perancangan (lantikan perunding) yang dijangka diselesaikan secara berperingkat hingga 2025.


"Selangor telah meluluskan Peruntukan Pembangunan Negeri sebanyak RM615.06 juta kepada JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) bagi melaksanakan 73 projek tebatan banjir, selain Peruntukan Akaun Amanah Caruman Parit sebanyak RM41.4 juta (lapan projek) kepada jabatan sama.


"Kerajaan Persekutuan pula telah meluluskan RM455.2 juta kepada JPS untuk melaksanakan empat projek tebatan banjir iaitu Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kayu Ara, Rancangan Tebatan Banjir Sungai Buloh, Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat Fasa 1 dan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kuyoh yang dijangka mengambil masa enam hingga tujuh tahun," katanya kepada BERNAMA.


Izham berkata komponen utama projek tersebut antara lain membabitkan sungai, kolam takungan dan pintu air, selain tiada projek yang ditangguh dan semua projek yang diluluskan akan dilaksanakan mengikut kemampuan kewangan kerajaan negeri.


Beliau berkata pihaknya turut bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam usaha mengatasi masalah banjir, misalnya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memperuntukkan kira-kira RM300 juta untuk tempoh lima tahun bagi menaik taraf longkang, menambah unit pam air dan kolam takungan.


"Saya juga sedang berurusan dengan Majlis Perbandaran Klang, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya untuk melihat projek tebatan di sepanjang sungai di kawasan masing-masing.


"Ini kerana program (tebatan banjir) Persekutuan dan negeri di bawah JPS, jadi kita nak selaraskan dengan pihak PBT sekali," katanya.


Ditanya mengenai perancangan jangka masa panjang, Izham berkata kerajaan negeri melalui JPS Selangor telah membuat perancangan pengurusan banjir melalui dua kaedah iaitu langkah struktur dan bukan struktur.


Katanya langkah struktur merangkumi komponen seperti pembinaan ban banjir, tembok penahan air, terowong banjir, saluran pintasan dan bendungan rendah bagi tujuan kawalan banjir.


Menurutnya turut dicadangkan pembinaan kolam takungan banjir seperti simpanan bawah tanah, kolam bertingkat, storan menegak dan mendatar serta kolam takungan bertingkat serta beberapa lagi.


"Bagi langkah bukan struktur pula, kami mencadangkan pembangunan Program Ramalan Amaran Banjir Negara (PRAB) yang berupaya meramal kejadian banjir monsun tujuh hari lebih awal berdasarkan data ramalan cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia.


"Ia turut membabitkan pembangunan Rangkaian Stesen Hidrologi termasuk sistem siren amaran banjir untuk mengumpul dan memproses data hidrologi bagi tujuan ramalan serta amaran banjir serta banyak lagi," katanya.


Sumber: Berita Harian


Tebatan banjir RM1.11 bilion di Selangor, bukti keprihatinan Kerajaan Persekutuan, negeri

Comentários


bottom of page