Tapak haram pembuangan sisa toksik disita



Melaka: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka menyita satu tapak haram pembuangan sisa toksik berjadual dan bahan terjadual berbahaya di Jalan Pengkalan Perigi, Tanjung Kling pada Khamis lalu, kata Ketua Pengarah Alam Sekitar Norlin Jaafar.


Katanya, hasil risikan dan intipan di tempat berkenaan pada Selasa lalu, pihaknya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Badan Kawal Selia Air (BKSA) menyerbu tapak berkenaan.


"Siasatan lanjut mendapati terdapat lebih 900 tong dram, enam tangki 'intermediate bulk containers' (IBC), tujuh tong tercemar dan lima tangki simpanan minyak yang disyaki mengandungi enapcemar minyak, manakala sisa toksik yang dikesan merupakan buangan terjadual enapcemar atau minyak yang disyaki daripada loji penapisan minyak dengan kod SW314.


"Pasukan siasatan JAS Melaka telah menjalankan persampelan bahan buangan berkenaan dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisis dan penentuan ciri serta komposisi bahan buangan itu, selain pemantauan dron dan kualiti udara dilakukan dari semasa ke semasa untuk memastikan keadaan selamat di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.


Norlin berkata, pihak premis juga sudah diarah menjalankan pembersihan dan pelupusan buangan yang disyaki buangan terjadual, selepas siasatan selesai dijalankan melalui Notis Arahan di bawah Seksyen 31(1)(g) & 37(1)(c) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.


Katanya, kertas siasatan juga sedang disediakan bagi pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu kesalahan menempatkan buangan terjadual tanpa kebenaran Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling, yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara dan denda sehingga RM500,000.


"Saya memberi amaran keras kepada semua pihak terutamanya pihak industri, termasuk kontraktor pengangkut dan premis yang mengendalikan pengolahan dan pelupusan buangan terjadual, supaya memastikan sisa toksik dan berbahaya diuruskan dengan sempurna dan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan," katanya.


Sumber: Harian Metro


#evolusibina #Melaka

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.