Tapak binaan biak aedes diarah tutup



JOHOR BAHRU: Sebuah tapak pembinaan di Taman Desa Tebrau di sini, diarah tutup selama 14 hari berikutan melakukan pelbagai kesalahan termasuk menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.


Dalam operasi bersepadu lebih empat jam oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bersama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Jabatan Kesihatan Negeri Johor serta lima agensi lain, pemaju, kontraktor serta arkitek projek pembinaan rumah kluster itu turut diberi tujuh kompaun bernilai RM14,000 selain 10 notis pelbagai kesalahan.


Ketua Operasi Penguatkuasaan Bersepadu CIDB Johor, Muhammad Firdaus Ashram Baharam, berkata operasi bersepadu itu bertujuan mengesan tapak binaan yang mengingkari peraturan membabitkan aspek pekerja mahir, syarat pembinaan, keselamatan dan kesihatan.


Katanya, serbuan dilakukan selepas risikan dan intipan selama hampir dua minggu dijalankan.


“CIDB Johor mengesan tapak pembinaan ini melakukan pelbagai kesalahan dan kita mengeluarkan lima notis iaitu notis arahan mengemukakan maklumat dan notis penggunaan bahan binaan yang tidak diperakukan membabitkan konkrit pratuang.


“Tapak pembinaan ini turut diberi notis kesalahan pendaftaran, akreditasi dan latihan seni binaan (menggunakan pekerja tidak mahir), notis pemberitahuan kesalahan mengikut kewajipan kontraktor dan notis arahan hadir memberi keterangan kepada kontraktor.


“Seramai 95 daripada 111 pekerja pembinaan di tapak projek berkenaan yang diperiksa dikesan tidak memiliki kad pendaftaran pekerja mahir binaan di bawah kesalahan pendaftaran, akreditasi dan latihan personel binaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini selepas operasi bersepadu berkenaan.


Turut menyertai operasi adalah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Johor dan Suruhanjaya Tenaga Johor.


Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Bangunan MBJB, Nurazhani Bujang, berkata pihaknya mengeluarkan tujuh kompaun terhadap syarikat pemaju, kontraktor dan arkitek projek berkenaan membabitkan nilai RM14,000.


“Ia atas kesalahan mendirikan binaan iaitu rumah kongsi tanpa kebenaran bertulis daripada MBJB. Jika masih ingkar dan tidak membuat permohonan rasmi, kita akan mengheret pemaju, syarikat kontraktor dan arkitek ke mahkamah,” katanya.


Jabatan Kesihatan Johor mengarahkan tapak pembinaan berkenaan ditutup 14 hari bermula hari ini.


Ia berikutan penemuan lima lokasi di tapak berkenaan yang menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes manakala denda RM500 turut dikenakan ke atas tapak berkenaan.


Lima lagi notis larangan dikeluarkan JKKP Johor yang antaranya membabitkan laluan tempat kerja tidak selamat dan perancah dibina tidak selamat, selain tapak pembinaan tiada penyelia projek serta penyelia keselamatan dan kesihatan.


Sumber: Berita Harian


#evolusibina #keselamatan #aedes #JKKP

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.