AMPANG: Keretakan pada struktur rumah dan pergerakan tanah dikesan terus berlaku di beberapa kediaman yang terjejas susulan tanah runtuh di Jalan Kelab Ukay 4, Taman Kelab Ukay di sini, Sabtu lalu.
Penduduk, Norasiah Mohd Noor, 40, berkata beliau terpaksa membuat aduan kepada pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), hari ini selepas kawasan tanah di bahagian belakang kediamannya semakin mendap.
"Pada hari pertama (Sabtu), tidak ketara berlaku pergerakan susulan runtuhan, namun pada keesokannya, saliran longkang pula rosak selepas tanah semakin mendap.
"Masuk hari kelima hari ini, tanah di bahagian belakang semakin mendap dan dinding sambungan dapur di kediaman sebelah pula semakin luas rekahan dan condong ke arah belakang rumah kami, saya bimbang ia akan runtuh," katanya yang ditemui BH, hari ini.
Susulan itu, katanya beliau menghubungi MPAJ mengadukan perkara itu sebelum pekerja syarikat kontraktor dilantik MPAJ datang membuat pemeriksaan dan memasang kanvas tambahan di belakang kediamannya bagi mengelakkan tanah semakin mendap sekiranya hujan.
Sebelum ini, kanvas sudah pun dipasang di bahagian tanah yang runtuh di belakang tujuh kediaman yang terjejas pada hari pertama sejurus kejadian kira-kira jam 2 pagi itu bagi mengelak ia terus terhakis.
Norasiah berkata, keluarganya serta empat lagi keluarga terjejas masih menetap sementara di Hotel De Palma di sini, sementara mencari kediaman lain untuk tempoh enam bulan selepas mereka diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing.
Ini bagi membolehkan kontraktor dilantik MPAJ menjalankan kerja membina tembok penghadang sepanjang 70 meter yang dijangka memakan masa selama enam bulan.
"Saya kini dalam proses mengemas barang untuk dibawa ke rumah sewa sementara dan saya yakin empat lagi keluarga terbabit juga sedang melakukan perkara sama kerana kami hanya diberi seminggu untuk menetap di hotel.
"Keluarga kami akan berpindah ke rumah sewa yang terletak di taman perumahan ini selepas tempoh tujuh hari itu tamat," katanya.
Sementara itu, tinjauan BH ke lokasi hari ini mendapati, beberapa pekerja syarikat yang membuat kajian tanah sedang menjalankan kerja mengkaji sampel yang dikorek dengan kedalaman 30 meter di lokasi yang terjejas.
Difahamkan, kerja berkenaan dimulakan sejak Isnin lalu dan proses kajian kini sudah membabitkan kedalaman 21 meter.
Sabtu lalu, tujuh rumah teres dua tingkat di Jalan Kelab Ukay 4, Taman Kelab Ukay di sini terjejas selepas berlaku tanah runtuh di bahagian belakang kediaman terbabit.
Kerajaan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan meluluskan peruntukan RM2 juta serta merta bagi membina tembok penahan di kawasan tanah runtuh yang menjejaskan tujuh kediaman di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa itu.
Seramai 40 ahli keluarga daripada lima keluarga yang tinggal di situ diarahkan meninggalkan kediaman masing-masing dan ditempatkan sementara di Hotel De Palma selama seminggu sebelum mereka mencari kediaman lain.
Sumber: Berita Harian
Комментарии