top of page

Tambahan LRA Jeneri tangani gangguan bekalan air – SADA


Tambahan LRA Jeneri tangani gangguan bekalan air – SADA
Loji Rawatan Air (LRA)

Tambahan LRA Jeneri tangani gangguan bekalan air – SADA

ALOR SETAR – Kira-kira 7,000 akaun pengguna Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) di daerah Sik dan Pendang menerima manfaat susulan pembinaan tangki mendapan tambahan di Loji Rawatan Air (LRA) Jeneri.


Ia bagi memastikan pengurangan operasi LRA akibat kerja-kerja cucian tangki mendapan dapat diminimumkan.


SADA dalam satu kenyataan berkata, projek tersebut dilaksanakan melalui peruntukan dalaman pihaknya berjumlah RM3.1 juta dengan kaedah perolehan secara tender terbuka berkonsepkan reka dan bina.


Jelas kenyataan itu, pembinaan projek itu bermula pada 1 Julai 2022 itu siap pada 27 Mac lalu iaitu kira-kira tiga bulan awal daripada tarikh jangka siap asal.

Tambahan LRA Jeneri tangani gangguan bekalan air – SADA
Tangki tambahan itu memberi manfaat kepada 7,000 akaun pengguna SADA.

“Pengurangan operasi LRA Jeneri akan berlaku sebanyak dua kali dalam masa satu bulan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pencucian flok di tangki mendapan dan dengan penambahan sebuah lagi tangki mendapan ini, kerja-kerja cucian dapat dilakukan tanpa mengganggu pengoperasian keseluruhan LRA Jeneri.


“Pengenapan merupakan peringkat keempat dalam proses rawatan air selepas penyaringan, penggudaraan dan pengentalan. Flok yang terhasil daripada proses pengentalan akan mendap secara graviti di tangki mendapan.


“Air yang separa bersih itu akan melalui proses seterusnya iaitu penapisan,” katanya hari ini.


Antara kawasan-kawasan yang akan terjejas akibat pengurangan operasi LRA Jeneri sebelum ini adalah Kampung Bendang Raja, Kampung Syed Ahmad, Kampung Tok Set, Kampung Pokok Asam, Kampung Belat, Titi Akar, Sungai Tiang Padang Durian, Kampung Sewa, Padang Pusing, Bukit Tegur, Bendang Pulai dan beberapa kawasan lain di sekitar kawasan-kawasan tersebut.


Tambah SADA, sehingga kini tiada notis gangguan bekalan air dikeluarkan melibatkan kerja-kerja cucian tangki mendapan di LRA Jeneri setelah projek terbabit selesai dilaksanakan.


“Melalui pembinaan projek itu, kita berharap LRA Jeneri dapat berfungsi dengan lebih baik sekali gus memberikan bekalan air terawat yang konsisten dan berkualiti kepada penduduk di kawasan sekitar,” katanya.



Tambahan LRA Jeneri tangani gangguan bekalan air – SADA

bottom of page