top of page

Tahap keselamatan lebuh raya PLUS kekal terbaik



Kuala Lumpur: Pengendali lebuhraya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) komited untuk terus memastikan tahap keselamatan di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) yang merangkumi laluan Jalan Duta-Bukit Raja serta semua lebuh raya kendaliannya berada pada tahap terbaik menerusi pendekatan 3E.


PLUS pada kenyataan hari ini, memaklumkan, formula 3E yang dilaksanakan menjadi kunci utama kejayaan pihaknya diiktiraf sebagai pengendali lebuh raya sistem tertutup paling selamat di negara ini oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) baru-baru ini.


"Formula 3E merangkumi aspek kejuruteraan (engineering), penguatkuasaan (enforcement) serta pendidikan (education) yang diguna pakai oleh PLUS turut menyaksikan penurunan jumlah kemalangan yang berlaku di lebuh raya kendaliannya secara konsisten sejak 2017.


"Bagi pendekatan kejuruteraan, ia memberi fokus kepada penggunaan aplikasi teknologi terbaru untuk meningkatkan keselamatan seperti turapan jalan, penghadang jalan, peralatan keselamatan jalan raya dan mengaplikasikan teknologi video analitik," katanya.


Menurut kenyataan, melalui inisiatif kejuruteraan ini, PLUS memastikan semua lebuh raya kendaliannya mencapai tiga bintang dalam Standard Penilaian iRAP.


Katanya, PLUS turut membuat pelbagai penambahbaikan di beberapa lokasi kritikal seperti membaik pulih turapan jalan dengan 'anti-skid surface coating', pemasangan lampu amaran, mengaplikasikan garisan penanda jalan jenis 'vibraline', memasang pemantul cahaya, papan tanda amaran dan lain-lain.


"Contoh, di laluan Ipoh-Kuala Kangsar, PLUS melakukan penambahbaikan aspek kejuruteraan seperti pemasangan pengadang jalan konkrit, 'rumble strips' dan sebagainya untuk meningkatkan tahap keselamatan di laluan terbabit.


"Pada masa sama, PLUS turut mengadakan kajian dan melaksanakan pemasangan lampu jalan LED di lokasi kritikal seperti laluan Jelapang-Terowong Menora dan Changkat Jering-Hentian Sebelah Bukit Gantang bagi meningkatkan tahap keselamatan di laluan terbabit," katanya.


Menurut kenyataan, daripada segi penguatkuasaan pula, PLUS bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Penguatkuasaan Awam Darat (APAD) untuk meningkatkan pematuhan dan penguatkuasaan terhadap undang-undang keselamatan jalan raya.


"Sepanjang 2019, 96 operasi halangan dilaksanakan PLUS dan agensi berkaitan dalam usaha mengesan kenderaan berat yang membawa muatan secara berbahaya di samping tahap keselamatan tayar digunakan.


"Operasi bersepadu ini turut dijalankan sebagai langkah awal membendung kejadian muatan atau halangan terjatuh di lebuh raya yang mendatangkan bahaya kepada pengguna," katanya.


Menurutnya, PLUS juga menyediakan tiga stesen penguat kuasa JPJ di kawasan rehat dan rawat (R&R) Dengkil, Gunung Semanggol dan Pagoh bagi memudahkan JPJ untuk mengendalikan operasi pencegahan dan penguatkuasaan di lebuh raya.


"Terbaru, PLUS turut menyediakan pejabat operasi Unit Penguatkuasa Lebuhraya (UPLR) JPJ di bekas tapak plaza tol Jelapang di Ipoh, Perak untuk memudahkan operasi penguatkuasaan dan meningkatkan tahap keselamatan di lebuh raya kendalian kami.


"PLUS turut bekerjasama dengan JPJ untuk memasang lebih banyak kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) di empat lokasi terpilih yang baru untuk mengurangkan kemalangan disebabkan individu memandu melebihi had laju," katanya.


Menurut kenyataan, PLUS turut bekerjasama dengan PDRM menerusi sumbangan kenderaan rondaan di lebuh raya serta menyediakan 20 pejabat Unit Rondaan Lebuhraya (EMPV) di semua pejabat seksyen di sepanjang lebuh raya kendaliannya.


Daripada aspek pendidikan, ia terdiri daripada penganjuran program meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya seperti 'Expressway Operation Safety Passport' (EOSP).


"Sehingga kini, 12,500 petugas dan kontraktor yang menjalankan tugas di lebuh raya menyertai EOSP. Hasilnya, EOSP berjaya merekodkan pengurangan jumlah kematian membabitkan petugas di lebuh raya.


"PLUS bangga kerana Program EOSP yang diperkenalkan pada 2018 kini diperakui dan diperluaskan ke seluruh industri lebuh raya di negara ini.


"PLUS juga mengadakan pelbagai program kesedaran keselamatan membabitkan komuniti di sekitar jajaran lebuh raya secara berterusan untuk bersama meningkatkan tahap keselamatan serta mengatasi isu keselamatan yang unik di lokasi berlainan seperti vandalisme, lumba haram, haiwan ternakan dan sebagainya," katanya.


Menurutnya, 46 program keselamatan berteraskan komuniti dianjurkan oleh PLUS di sepanjang rangkaian lebuh raya kendaliannya antara 2018 hingga 2019.


"Selain itu, PLUS turut aktif mendidik orang ramai mengenai keselamatan lebuh raya menerusi Facebook, Twitter dan sebagainya.


"Menerusi pendekatan 3E, PLUS berupaya menambah baik aspek keselamatan dan keselesaan pelanggan bertepatan dengan pengiktirafan antarabangsa serta kajian dan penilaian badan keselamatan jalan raya di negara ini," katanya.


Sumber: Harian Metro


13 views
bottom of page