KUALA LUMPUR: Tanjung Offshore Services Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh T7 Global Bhd, telah memperoleh kontrak sewa dan operasi serta penyelenggaraan daripada Busrakham G11 Ltd (Busrakham G11), bernilai kira-kira RM400 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, T7 Global berkata kontrak itu membabitkan kejuruteraan, perolehan, sewaan, operasi dan penyelenggaraan unit pengeluaran luar pesisir mudah alih (MOPU) bagi Busrakham G11 di Medan Nong Yao, Teluk Selatan Thailand selama lima tahun, dengan tempoh lanjutan dua tahun.
Ia berkata kontrak itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih syarikat bagi tempoh kewangan sepanjang tempoh kontrak.
Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif T7 Global Group Tan Kay Zhuin berkata penyelesaian MOPU kumpulan itu adalah bersifat konsep kaedah bina, kendali dan pindah.
Ia membolehkan pengendali luar pesisir mempercepatkan pengeluaran dalam lapangan marginal dan/atau meningkatkan pemulihan hidrokarbon dalam lapangan yang lebih matang, dengan pendedahan perbelanjaan modal awal yang lebih rendah.
"Menerusi kontrak ini, nilai perolehan kontrak kami telah meningkat kepada RM2.6 bilion dan bahagian tenaga kami akan berkembang dalam beberapa tahun akan datang melalui pelaksanaan projek kami yang sedia ada," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments