top of page

T7 Global dilantik pengedar Oliver Valves di Malaysia


Pengurus Besar T7 Wenmax, Michael Aziz Eu (kanan) bertukar dokumen perjanjian dengan Pengarah Jualan Oliver Valves, Richard Bedford pada Pameran Kejuruteraan Minyak, Gas dan Petrokimia Asia Ke-17 (OGA 2019). NSTP/Salhani Ibrahim

KUALA LUMPUR: T7 Global Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, T7 Wenmax Sdn Bhd menjalin kerjasama strategik dengan Oliver Valves Limited untuk memasarkan dan menjual penyelesaian injap keluaran syarikat United Kingdom (UK) itu di pasaran Malaysia.


Pengurus Besar T7 Wenmax, Michael Aziz Eu, berkata kerjasama dengan Oliver Valves itu akan mengukuhkan lagi kehadirannya dalam industri minyak dan gas tempatan.


Beliau berkata, pihaknya berharap lebih banyak syarikat minyak dan gas di negara ini menjadi pelanggan dengan menjadi ejen tunggal dan ekslusif penyelesaian injap keluaran Oliver Valves di Malaysia.


Katanya, syarikat itu juga sedang membida beberapa projek dalam pasaran tempatan ketika ini.


“Kami jangka perniagaan lebih baik kerana memperoleh produk yang baik dari UK. Kami berharap memperoleh banyak pelanggan dari kalangan peserta industri minyak dan gas tempatan,” katanya selepas memeterai perjanjian ejen eksklusif dengan Oliver Valves di sini, hari ini.


Hadir sama, Pengarah Jualan Oliver Valves, Richard Bedford.


Majlis memeterai perjanjian itu diadakan sempena Pameran Kejuruteraan Minyak, Gas dan Petrokimia Asia Ke-17 (OGA 2019) yang diadakan selama tiga hari bermula hari ini.


Mengenai tinjauan industri minyak dan gas bagi 2019, Michael Aziz berkata, pihaknya optimis terhadap prospek industri minyak dan gas tempatan dan global berikutan pemulihan harga minyak mentah dunia.


T7 Global adalah syarikat tempatan yang menyediakan perkhidmatan antarabangsa dalam industri minyak dan gas dan disenaraikan dalam Pasaran Utama Bursa Malaysia.


Baru-baru ini, T7 Global mempelbagaikan perniagaannya ke dalam industri aeroangkasa dan pembinaan infrastruktur.



22 views
bottom of page