top of page

Syarikat tempatan raih RM3.39 bilion kontrak ECRL


Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sudah 19.69 peratus disiapkan - Foto arkib NSTP

KUALA LUMPUR: Nilai kontrak kerja Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang diberikan kepada syarikat tempatan sejak pelaksanaannya dari 2017 hingga November 2020 mencecah RM3.39 bilion.


Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata kontrak yang termasuk kerja-kerja sivil kekal dan sementara itu memanfaatkan hampir 2,000 syarikat tempatan terdiri daripada kontraktor, pembekal serta perunding.


"Daripada keseluruhan jumlah itu, RM1.69 bilion adalah untuk kerja-kerja di Pahang, diikuti oleh Terengganu (RM1.40 bilion) dan Kelantan (RM300 juta)," katanya dalam satu kenyataan.


MRL dan CCCC mencapai persetujuan melantik sub-kontraktor dan pembekal tempatan untuk sekurang-kurangnya 40 peratus daripada kerja-kerja sivil Projek ECRL, tidak termasuk kerja-kerja terowong.


Nilai kerja terbabit dianggarkan berjumlah sehingga RM10 bilion bagi pelaksanaan projek dari 2017 hingga 2026.


CCCC juga bersetuju memberi perhatian khas kepada pelantikan kontraktor kecil bersaiz Gred G1-G3 bagi memberi manfaat langsung kepada mereka serta keseluruhan pemain industri pembinaan tempatan.


Setakat ini, sebanyak 403 kontraktor tempatan berjaya melepasi proses pra-kelayakan dan didaftarkan di sistem pendaftaran dalam talian.


Daripada jumlah itu, 212 syarikat adalah kontraktor Bumiputera atau 52 peratus jumlah keseluruhan pra-kelayakan.


Mohd Zuki berkata, syarikat tempatan yang dilantik oleh kontraktor utama, China Communications Construction Company Ltd (CCCC) layak untuk memohon pembiayaan daripada SME Bank melalui memorandum persefahaman (MOU) yang dimeterai sejak 18 November 2019.


"Melalui inisiatif ini, kontraktor tempatan turut disokong dengan pilihan pembiayaan kewangan bagi memastikan pelaksanaan kerja yang menurut jadual dan menepati standard tinggi ditetapkan CCCC," katanya.


Beliau menegaskan, CCCC tiada halangan untuk melantik kontraktor tempatan selagi mereka mempunyai kemampuan, pengetahuan teknikal dan dapat menawarkan perkhidmatan dengan harga yang berdaya saing.


Katanya, harapan MRL adalah supaya ECRL menjadi salah satu projek kerajaan yang dapat menunjukkan kemampuan kontraktor tempatan melaksanakan dan memenuhi piawaian tinggi projek infra berskala besar.


"Penyertaan kontraktor tempatan dalam pembinaan projek ini tidak hanya akan bertindak sebagai rangsangan kepada sektor pembinaan tempatan.


"Kita akan berusaha untuk memastikan sebanyak mungkin pemindahan teknologi memandangkan ECRL dijangka menjadi salah satu projek kejuruteraan dan pembinaan yang paling mencabar di Malaysia.


"Oleh itu, harapan kita adalah agar kontraktor tempatan dapat memperoleh keuntungan daripada pemindahan pengetahuan dan teknologi yang akhirnya akan memaksimumkan impak pelaburan kerajaan dalam suasana ekonomi negara mencabar ketika ini," katanya.


Pembinaan ECRL kini merekodkan kemajuan pembinaan yang lebih awal berbanding jadual didorong oleh kerja-kerja pembinaan di Seksyen A (Kota Bharu-Dungun) dan Seksyen B (Dungun-Mentakab).


Pada masa ini, kadar kemajuan pembinaan keseluruhan projek adalah 19.69 peratus.


206 views
EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2024 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page