Syarikat pemasang perancah didenda RM30,000


Pengarah SM Masmaju Resources, Mohammad Ammierul Hafiz Abdul Rahman (kiri) dan S Sritharan (tengah) didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh selepas mengaku salah gagal mengadakan sistem kerja selamat bagi kerja-kerja memasang perancah di Jeti Lumut Bulk Terminal sehingga menyebabkan kemalangan maut. - NSTP/Effendy Rashid

IPOH: Sebuah syarikat didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku salah gagal mengadakan sistem kerja selamat bagi kerja-kerja memasang perancah di Jeti Lumut Bulk Terminal sehingga menyebabkan kemalangan maut membabitkan seorang pekerja warga Bangladesh berusia 42 tahun pada 17 Julai lalu.


SM Masmaju Resources sebagai majikan gagal memastikan, setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan ketika bekerja semua pekerja di bawah kawalannya.

Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.


Syarikat berkenaan diwakili dua pengarahnya iaitu Mohammad Ammierul Hafiz Abdul Rahman, 26 dan S Sritharan, 36, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.


Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Shahrill Sulaiman manakala kedua-dua pengarah syarikat berkenaan diwakili peguam Dalgit Singh.


Pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap syarikat berkenaan supaya menjadi pengajaran kepada syarikat lain untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja.


Dalgit memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana syarikat berkenaan sudah menjalankan tanggungjawab sebagai majikan dengan menghantar jenazah mangsa ke negara asal selain memberikan pampasan kepada waris mangsa.


Norashima kemudian mengenakan hukuman denda RM30,000 dan enam bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.


Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari 17 Julai lalu, pekerja warga Bangladesh syarikat berkenaan, Kamal Hossein, 42, terjatuh ke lantai jeti kemudian ke dalam laut ketika menjalankan kerja-kerja memasang perancah.


Mayat mangsa ditemui jam 6.50 petang hari sama oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dan kemudian dihantar ke Hospital Sri Manjung yang hasil bedah siasat mendapati mangsa maut akibat pelbagai kecederaan susulan terjatuh dari tempat tinggi.


Sumber: Berita Harian


#evolusibina #keselamatan

92 views

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.