top of page

Syarikat Malaysia digalak sertai projek pembangunan di New Zealand


New Zealand mengamalkan ekonomi terbuka dan sedang pulih daripada pandemik Covid-19. - Foto 123RF

SYARIKAT Malaysia yang berhasrat menceburkan diri dalam pasaran global harus mempertimbangkan tender projek infrastruktur di New Zealand.


New Zealand mengamalkan ekonomi terbuka dan sedang pulih daripada pandemik Covid-19, sebahagiannya disebabkan langkah pihak berkuasa negara itu untuk menangani wabak tersebut.


"New Zealand menggalakkan syarikat-syarikat Malaysia terlibat dalam proses tender untuk projek infrastruktur seperti membina jalan raya, sekolah, tadahan air, landasan kereta api dan banyak lagi," kata Presiden Persatuan Perniagaan Malaysia New Zealand (NZMBA), Dave Ananth dalam satu kenyataan kepada Bernama.


Dave, berkata NZMBA melalui sekretariatnya Stace Hammond Lawyers di Auckland telah dihubungi sub-organisasi Majlis Auckland yang mempunyai senarai tender projek untuk direbut pihak yang memenuhi syarat.


"Saya telah diberi senarai projek yang ada dan New Zealand menggalakkan syarikat Malaysia untuk menyertai tender projek infrastruktur," katanya sambil menambah syarikat yang berminat boleh menghubungi NZMBA atau Stace Hammond Lawyers.


Beliau berkata, New Zealand adalah antara destinasi pelaburan paling selamat di dunia antaranya kerana kualiti hidup yang tinggi, kemampuan menguruskan sempadan dan pertumbuhan ekonomi.


Katanya, Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) akan memulakan projeknya di New Zealand melalui kerjasama dengan Panuku Development Auckland untuk membangunkan Aotea Central Over Station Development (OSD) dengan nilai kasar (GDV) sebanyak RM1.3 bilion (NZ $ 452 juta) di Pusat Bandar Auckland.


Pembangunan semula bandar di Stesen Aotea City Rail Link merangkumi kawasan seluas 1.08 ekar.


Dave berkata, NZMBA juga merancang menganjurkan ekspo ‘halal’ di New Zealand pada awal 2022. - Bernama


Sumber: Sinar Harian

147 views

Comments


bottom of page