top of page

Syarikat Bumiputera peroleh RM16.9 bilion kontrak TNB



BANGI: Tenaga Nasional Bhd (TNB) menganugerahkan kontrak terkumpul berjumlah RM16.9 bilion kepada syarikat vendor di bawah Program Pengilang dan Kontraktor Bumiputera (PPKB) dari tahun 1995 sehingga 2019.


Ketua Pegawai Perolehannya, Amir Mahmod Abdullah berkata, ia membabitkan 822 syarikat merangkumi 32 vendor di bawah kategori pembekal dan 790 vendor di bawah kategori kontraktor.


"Bagi tahun ini pula jumlah kontrak yang akan dikeluarkan tertakluk kepada permohonan pihak kami kepada Suruhanjaya Tenaga (ST), yang mana permohonan baharu masih dipertimbangkan.

"Namun kami telah membelanjakan sejumlah RM7 bilion bagi perbelanjaan modal (capex) untuk projek baharu kerja infrastruktur dan pembangunan baharu bagi tahun ini," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran 'Program Peningkatan Kemahiran bagi Kontraktor TNB' di sini, hari ini.


Program Peningkatan Kemahiran bagi Kontraktor TNB dilancarkan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid.


Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian, Seksyen Vendor, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Azrilah Abdul Aziz.


Sementara itu, Mahdzir dalam ucapannya berkata, inisiatif program berkenaan adalah bertujuan untuk meningkatkan kemahiran para kontraktor menerusi peningkatan tahap kompetensi dari segi kemahiran dan keupayaan teknikal mereka.


"Ini juga bagi memastikan kerja yang dilaksanakan adalah berkualiti serta mengikut prosesur dan piawaian kejuruteraan yang ditetapkan.


"Ia juga sejajar dengan komitmen TNB yang sentiasa berusaha untuk membangunkan vendor PPKB selaras dengan hasrat negara membina dan memperkasakan sektor perdagangan dan perindustrian," katanya.


Beliau berkata, TNB telah memainkan peranannya sebagai syarikat induk dalam usaha membangunkan para vendor khususnya dalam kalangan Bumiputera sejak lebih suku abad lalu, yang mana manfaat daripadanya telah dapat dinikmati.


Menyentuh mengenai nilai kontrak berjumlah RM16.9 bilion yang dimanfaatkan syarikat tempatan, Mahdzir berkata ia sekali gus dapat merancakkan kegiatan ekonomi termasuk bidang bekalan, peruncitan dan penyediaan peluang pekerjaan.

-BERNAMA



104 views
bottom of page