SWM Environment serah perkhidmatan pembersihan jalan kepada JKR



SEREMBAN: Perkhidmatan pembersihan melibatkan 1,449 jalan utama di tiga di negeri telah diserahkan pihak SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) sejak Januari lalu.


Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, penyerahan perkhidmatan pembersihan jalan utama di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan diserahkan kepada JKR berkuatkuasa 1 Januari lalu selaras dengan arahan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).


“Menurut Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), perkhidmatan pembersihan jalan-jalan tersebut dikeluarkan daripada skop kerja syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.


“Ia adalah kerana jalan-jalan tersebut berada di bawah pentadbiran dan seliaan JKR serta di luar daripada skop Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672),” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Mohd. Norlisam, penamatan perkhidmatan pembersihan oleh SWM Environment ini melibatkan sebanyak 231 jalan JKR di Johor, 1,062 jalan JKR di Melaka dan 156 jalan JKR di Negeri Sembilan.


“Ia meliputi perkhidmatan pembersihan jalan dengan menggunakan jentera ‘road sweeper’, kutipan sampah, pemotongan rumput dan pembersihan longkang di sepanjang jalan JKR, termasuk semua jalan utama di pusat bandar,” katanya.


Tambahnya, dengan pengambilalihan perkhidmatan pembersihan oleh JKR, maka sebarang aduan atau isu kebersihan berhubung jalan JKR perlu diajukan kepada pihak yang berkaitan.


“Bagaimanapun, SWM Environment sedia bekerjasama dengan semua pihak dalam memberi penerangan kepada orang awam dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenai penyerahan perkhidmatan pembersihan jalan JKR.


“SWM Environment sebagai syarikat konsesi yang bertanggungjawab terhadap pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan akan sentiasa komited dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti di kawasan-kawasan seliaan kami,” katanya.


Sumber: Utusan Malaysia


#evolusibina #JKR

9 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.