KUALA LUMPUR: Harga rumah dan aset komersial di kawasan berisiko banjir dijangka terjejas sehingga menyebabkan pemilik berdepan kesukaran untuk menjual hartanah mereka.
Perunding hartanah, Mohd Arif Hussin, berkata pada jangka panjang, kawasan yang berisiko tinggi mengalami banjir akan terkesan dari segi harga memandangkan prospek pembeli kurang berminat untuk mendiami lokasi berkenaan.
"Permintaan terhadap hartanah di kawasan ini mungkin berkurangan dan menyebabkan pemilik terpaksa menurunkan harga jualan untuk menarik minat pembeli," katanya kepada BH.
Beliau yang berpengalaman hampir 10 tahun dalam bidang jual beli hartanah berkata, terdapat satu kes seorang pembeli sudah membuat bayaran deposit awal tiga peratus untuk membeli kediaman di Shah Alam awal bulan ini membatalkan hasrat berbuat demikian.
Katanya, pembatalan itu berkemungkinan besar disebabkan banjir pada 18 Disember lalu, malah pembeli itu juga tidak kisah kehilangan wang deposit.
"Dia baru membayar deposit awal Disember, namun hartanah yang ingin dibeli itu turut terkesan dengan banjir menyebabkannya menarik diri daripada meneruskan urusan jual beli.
"Saya percaya, ramai lagi perunding hartanah mengalami sama seperti saya lalui ini iaitu pembeli mahu membatalkan urusan jual beli selepas hartanah berkenaan terbabit banjir buruk baru-baru ini," katanya.
Sementara itu, Presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA), Chan Ai Cheng, berkata terdapat kemungkinan bank akan menurunkan margin pinjaman kediaman yang terjejas dengan banjir, sekali gus memberi kesan kepada nilai hartanah di kawasan terbabit.
Beliau bagaimanapun berkata, tiada data transaksi untuk mengesahkan harga rumah jatuh disebabkan banjir buat masa ini.
Katanya, banjir terburuk di Lembah Klang dalam tempoh 50 tahun baru-baru ini dianggap luar biasa dan tidak kerap terjadi.
"Kami yakin kerajaan akan meneliti kejadian banjir ini untuk mengelak bencana sama berulang lagi.
"Yang membimbangkan adalah kemungkinan bank menurunkan margin pinjaman bagi lokasi terjejas. Jika ini terjadi akan memberi kesan kepada harga rumah," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Ejen Harta Tanah Rahim & Co International Sdn Bhd, Siva Shanker, pula berkata untuk jangka pendek, adalah mustahil bagi pemilik kediaman yang dilanda banjir dapat menjual rumah mereka walau pada harga apa sekali pun.
Namun, katanya selepas beberapa tahun, pasaran hartanah kediaman di kawasan berkenaan boleh dijual apabila orang ramai mula melupakan banjir itu.
"Sama seperti di Bukit Antarabangsa yang pernah dilanda tanah runtuh pada 1990-an.
Kawasan itu dan sekitarnya kini rancak dengan pembangunan dan banyak rumah sudah dijual.
"Bagi pemaju pula, saya percaya mereka meningkatkan infrastruktur untuk projek akan datang yang terbabit di kawasan banjir bagi memastikan hartanah itu selamat daripada dinaiki air.
"Ini mungkin meningkatkan kos pembinaan, sekali gus menaikkan harga jualan projek mereka," katanya.
Berdasarkan semakan di beberapa platform jual beli hartanah, secara purata harga rumah yang dijual di Taman Sri Muda, iaitu kawasan paling teruk dilanda musibah itu baru-baru ini antara RM300,000 hingga RM500,000 untuk kediaman bertanah.
Di Hulu Langat yang turut terjejas teruk, harga rumah bertanah juga lebih kurang sama.
Tinjauan BH di platform jual beli hartanah juga mendapati, sudah mula terdapat pemilik rumah di kawasan berisiko banjir yang menyenaraikan kediaman masing-masing selepas bencana alam itu berlaku.
Bagaimanapun, buat masa ini harga yang diminta pemilik dan diletakkan perunding hartanah di kawasan berkenaan didapati masih dalam lingkungan seperti sebelum banjir.
Sumber: Berita Harian
Comments