top of page

Sudah mohon untuk naik taraf


Sudah mohon untuk naik taraf
Gambar hiasan

Jempol: Kecuaian dan sikap pemandu kenderaan selain faktor jalan antara yang dikenal pasti sebagai punca utama kemalangan di Jalan Bahau-Keratong.


Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, statistik tahun lalu menunjukkan laluan terbabit yang berada di daerah ini merekod 72 kemalangan.


Katanya, daripada jumlah itu, tiga kejadian membabitkan kemalangan maut, dua kemalangan mengakibatkan cedera parah manakala 67 adalah kemalangan ringan.


"Bagi tempoh Januari sehingga Ogos tahun ini pula, sebanyak 55 kemalangan direkodkan dengan dua kemalangan mengakibatkan kematian, dua kemalangan kecederaan parah dan 51 kemalangan ringan.


"Justeru itu, polis bukan sahaja melakukan pemantauan menerusi rondaan lebih kerap tetapi juga mengadakan operasi had laju bagi mengesan pemandu yang gagal mematuhi had ditetapkan iaitu 80 kilometer sejam," katanya.


Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai keluhan pengguna Jalan Bahau-Keratong menyifatkan laluan itu sebagai berbahaya.


Hoo berkata, pada 2023, polis mengeluarkan sebanyak 5,774 saman kerana memandu melebihi had laju di kawasan berkenaan, manakala bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, 6,279 saman sudah dikeluarkan.


"Jumlah ini meningkat berbanding keseluruhan saman dikeluarkan pada tahun lalu.


"Selain faktor jalan, sikap kita sebagai pemandu yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya juga menjadi penyumbang kepada kemalangan.


"Pengguna jalan perlu lebih fokus dan memberi tumpuan ketika memandu di laluan itu," katanya.


Sementara itu, Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, kerajaan negeri menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah mengemukakan permohonan menaik taraf Jalan Bahau-Keratong kepada Kementerian Kerja Raya.


Katanya, laluan berkenaan membabitkan laluan FT011, Seksyen 32.00 hingga 40.00 menerusi 'rolling plan' kelima Rancangan Malaysia Ke-12.


"Jalan itu antara jalan utama dari negeri untuk ke pantai timur (menerusi Pahang) selain laluan penduduk gugusan Felda Palong.


"Skop projek yang dicadangkan bagi naik taraf itu adalah membabit jalan sepanjang lapan kilometer dan berkelebaran 3.5 meter serta jalan tunggal dua lorong," katanya.


Selain itu katanya, turut dicadangkan lorong mendaki dan memotong di satu lokasi merbahaya, menaik taraf empat persimpangan dan pemasangan lampu jalan.


Jalaluddin berharap Kerajaan Persekutuan dapat memberi perhatian kepada projek berkenaan, sekali gus memasukkannya dalam belanjawan akan datang.


Sumber: Harian Metro


Sudah mohon untuk naik taraf


Comentários


bottom of page