top of page

Status zon kewangan khas lonjak Forest City di peta dunia


Status zon kewangan khas lonjak Forest City di peta dunia
Forest City - Foto AFP

Status zon kewangan khas lonjak Forest City di peta dunia

JOHOR BAHRU: Status zon kewangan khas (SFZ) Forest City mampu meletakkan Malaysia di peta dunia, khususnya dalam sektor kewangan dan perbankan antarabangsa.


Pensyarah Jabatan Perakaunan dan Kewangan Fakulti Pengurusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mohd Effandi Yusoff, berkata SFZ diyakini dapat berkembang dan mewujudkan satu ekosistem kewangan bersifat pelengkap serta mengimbangi negara jiran, Singapura dan bukan bersaing antara satu sama lain.


"Kita boleh menjadikan model pembangunan di Shenzhen dan Hong Kong sebagai rujukan. Kerjasama bersifat saling melengkapi itu akan mewujudkan dua enjin teras di rantau Asia Tenggara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, pada masa sama, ia secara tidak langsung memberikan kesan positif kepada pembangunan ekonomi melalui limpahan manfaat yang diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat sama ada agensi kerajaan, pemain industri serta masyarakat.


Menurutnya, keputusan kerajaan Persekutuan menjadikan Forest City sebagai SFZ juga adalah langkah tepat dalam usaha memanfaatkan ekosistem yang telah wujud di kawasan berkenaan sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan Johor sebagai sebuah negeri maju menjelang 2030.


"Walaupun usaha itu baru diumum dan mungkin mengambil masa antara lima dan 10 tahun untuk menjadi matang, namun ia mampu menjadi pemangkin kepada Johor untuk mencapai potensi ekonomi sebenar sekali gus muncul sebagai suatu kuasa ekonomi di Asia," katanya.


Beliau berkata, infrastruktur asas di Forest City telah tersedia, justeru, langkah terbaik ialah memastikan projek itu dapat dijayakan bagi memberikan kesan menang-menang kepada semua pihak yang terbabit.


Mohd Effandi berkata, langkah itu juga boleh menjadi pelengkap kepada inisiatif terdahulu, antaranya usaha mewujudkan koridor Iskandar Malaysia di selatan tanah air sekali gus merealisasikan hasrat kerajaan menjadikannya koridor paling berjaya dalam negara.


Dalam pada itu, katanya demi menjayakan SFZ, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu bekerjasama dengan pihak swasta bagi menarik kehadiran lebih ramai pelabur antarabangsa untuk membuat pelaburan di SFZ Forest City.


"Matlamat ini juga mampu dicapai dengan polisi-polisi relevan yang telah dilaksanakan kerajaan sebelum ini seperti pelaksanaan cukai lebih rendah, sistem pelepasan visa yang lebih fleksibel dan mesra pengguna.


"Langkah itu boleh dibuat melalui pengenalan insentif yang bersesuaian atau pelaksanaan cukai-cukai progresif yang memberikan lebih imbuhan kepada syarikat antarabangsa memasuki pasaran tempatan," katanya.


Beliau berkata, kemasukan pelaburan asing bakal membawa impak positif kepada pertumbuhan jangka pendek dan jangka panjang kepada negara, antaranya perpindahan ilmu dan kemahiran kepada tenaga kerja tempatan.


Katanya, pembangunan kawasan itu juga mematuhi kriteria alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang secara tidak langsung akan menarik pemain industri yang mempunyai misi dan visi selari dalam aspek penjagaan alam sekitar dari seluruh dunia untuk datang ke Forest City.


Pada 25 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pembentukan zon kewangan khas di Forest City serta beberapa insentif untuk merancakkan aktiviti ekonomi di Johor dan kawasan sekitarnya.



Status zon kewangan khas lonjak Forest City di peta dunia

21 views

Comentários


bottom of page