top of page

Stadium Sultan Mizan selamat digunakan



PERSATUAN Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) memberi jaminan tahap keselamatan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) yang bakal menjadi gelanggang rasmi pasukan Terengganu FC (TFC) dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini terjamin.

Keyakinan itu disuarakan Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim ketika sidang media selepas majlis memperkenalkan jersi dan pemain TFC, TFC II, TFC III dan TFC IV di Dataran Pantai Batu Buruk, semalam.


Beliau turut menyatakan 'lampu hijau' untuk menggunakan stadium itu juga sudah diperolehi daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri sebelum ini dan baginya tidak timbul perkara berbangkit mengenai stadium itu yang kali terakhir digunakan pada awal musim 2017 sebelum berpindah ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.


Pada 2 Jun 2009 kira-kira jam 7.30 pagi, bumbung utama stadium bernilai RM270 juta itu yang mampu memuatkan 50,000 penonton menyembah bumi, namun bernasib baik kerana tidak ada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa berlaku.


Pada April musim lalu kerja-kerja menaik taraf padang bernilai RM1 juta telah dimulakan selain tambahan bajet RM1.2 juta daripada kerajaan negeri bagi membaiki trek di stadium berkenaan pada bulan lalu.


Dengan slogan baharu, 'We Bleed Black and White' TFC akan membuka kempen Liga Super bertemu juara Piala Malaysia 2018, Perak di SSMZA pada 29 Februari ini.


Sumber: Harian Metro


27 views
bottom of page