SPAN tubuh jawatankuasa khas siasatan kes paip pecah di Klang


CHARLES SANTIAGO

CYBERJAYA - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menubuhkan satu jawatankuasa khas siasatan bagi menyiasat kejadian paip pecah di tapak projek pembinaan Lebuhraya West Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping di Klang yang berlaku pada 5 Mei lalu.


Pengerusinya, Charles Santiago berkata, jawatankuasa khas siasatan itu dianggotai oleh anggota SPAN dan pakar-pakar dalam bidang berkaitan daripada empat agensi termasuk juru perunding bebas.


"Pakar-pakar ini terdiri daripada Jabatan Bekalan Air, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Kerja Raya (Sektor Pakar dan Sektor Infra), Institusi Jurutera Malaysia (IEM) dan juru perunding bebas.

"Fungsi jawatankuasa khas siasatan ini adalah menjalankan siasatan ke atas punca-punca yang menyebabkan kejadian paip pecah di Lebuhraya WCE serta memberi syor atau cadangan langkah-langkah bagi mencegah berlakunya kejadian yang sama pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.


Terdahulu, dalam insiden tersebut paip utama yang berdiameter 1,400mm, 900mm dan 600mm pecah dan mengakibatkan gangguan bekalan air kepada pengguna-pengguna di 65 kawasan di Wilayah Klang yang melibatkan sebanyak 175,036 akaun pengguna, khususnya yang mendapat bekalan air dari Kolam Air Bukit Lipat Kajang.


Gangguan bekalan air di kawasan-kawasan tersebut berlanjutan selama seminggu akibat pergerakan tanah yang mengganggu kemajuan kerja-kerja pembaikan paip-paip dan bekalan air pulih sepenuhnya pada 12 Mei lalu.


Sementara itu, Charles berkata, pihaknya turut mengambil beberapa inisiatif bagi menangani isu-isu kekerapan gangguan bekalan air tidak berjadual yang disebabkan oleh penutupan loji rawatan air akibat peningkatan kes pencemaran sungai.


Katanya, antara inisiatif tersebut dengan mengadakan simposium di Johor yang akan membincangkan isu-isu seperti pencemaran sungai, risiko pencemaran akibat penggunaan tanah dan pembangunan di kawasan tadahan sumber air mentah, kajian ketersediaan sumber air di lembangan sungai serta cadangan untuk meningkatkan sumber air.

"Kita juga menubuhkan Jawatankuasa Alam Sekitar di peringkat SPAN yang berfungsi antaranya untuk menilai keberkesanan aktiviti pemantauan dan kajian kesan pencemaran sumber air mentah terhadap perkhidmatan bekalan air serta mengesyorkan perkara-perkara berkaitan perlindungan alam sekitar dan perubahan iklim ke arah memastikan perlindungan sumber air mentah bagi memastikan kualiti, keselamatan dan kecukupan bekalan air.


"SPAN akan terus giat melaksanakan inisiatif dan usaha bagi memenuhi tanggungjawab sebagai badan kawal selia industri perkhidmatan air dan memastikan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dikuatkuasakan secara adil, berkesan dan telus," katanya.


Sumber: Sinar Harian


#evolusibina #SPAN

6 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.